Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih diperlukan

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih diperlukan

Menteri dalam negeri berkata Putrajaya tidak perlu terburu-buru memansuhkan akta itu.

Saifuddin Nasution Ismail berkata Akta Mesin Cetak dan Penerbitan masih relevan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam ‘pada masa ini’. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 masih diperlukan untuk memelihara ketenteraman awam, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan kajian terhadap semua undang-undang dari semasa ke semasa.

Berdasarkan kajian terbaharu, katanya, akta itu masih relevan dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam “pada masa ini”.

“Tiada keperluan untuk kerajaan terburu-buru memansuhkannya. Tetapi, KDN akan terus melaksanakan kajian serupa di masa depan bagi mengkaji semula akta tersebut berdasarkan keperluan semasa.”

Beliau menjawab soalan Teo Eng Tee berhubung langkah diambil untuk memansuhkan Akta Hasutan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Saifuddin berkata, Akta Hasutan masih merupakan undang-undang relevan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, Putrajaya tidak bercadang memansuhkan Akta Hasutan ketika ini, tetapi “kita tidak menolak kemungkinan itu, namun mungkin ia masih jauh lagi”.

Dalam manifesto PRU15 tahun lalu, Pakatan Harapan berjanji akan mengkaji dan memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

PH turut berikrar akan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan menerusi kempen PRU14. Ia kemudian menghadapi gesaan NGO yang berulang kali mendesak pemansuhan akta itu ketika ia berkuasa.

Tetapi, kerajaan PH digulingkan sebelum akta itu dapat dimansuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.