Bekas banduan baru bebas, disyaki ketuai kumpulan samun

Bekas banduan baru bebas, disyaki ketuai kumpulan samun

Lelaki mempunyai 55 rekod jenayah dibebaskan pada Jan itu dipercayai terlibat dalam 14 kes di Klang dan Shah Alam.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata bekas banduan berusia 40-an juga dipercayai merekrut empat individu lain turut serta dalam kegiatan jenayahnya, selepas keluar dari penjara pada Januari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas banduan mempunyai 55 rekod jenayah disyaki merekrut empat individu lain dalam kegiatan pecah kedai, samun dan curi kenderaan, di sekitar Klang dan Shah Alam.

Namun, kegiatan mereka tumpas susulan diberkas polis dalam serbuan di beberapa rumah di kawasan Jalan Kapar, Taman Sentosa dan Taman Selatan, Klang, 30 Mac lalu.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, berkata bekas banduan berusia 40-an yang baru dibebaskan pada Jan dipercayai kembali aktif melakukan aktiviti jenayah berkenaan, selain peranannya menjadi dalang utama.

“Tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat susulan laporan polis dibuat seorang pemilik kedai barangan pertukangan pada 26 Mac lalu.

“Menurut mangsa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati premis miliknya di Jalan Kota Raja Kampung Jawa, Klang, dipecah masuk suspek.

“Rakaman CCTV itu memaparkan empat lelaki memasuki premis melalui pintu sisi kedai dan mengambil pelbagai barangan antara jam 4 hingga jam 4.30 pagi. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, selain bekas banduan itu, suspek lain juga dikesan mempunyai sekurang-kurangnya 11 rekod jenayah lampau dan dadah.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga kereta iaitu Proton Waja, Wira serta Perodua Axia dan 52 barangan dicuri dari kedai itu.

“Hasil semakan nombor casis dan enjin kereta dirampas mendapati kereta Proton Waja dan Wira adalah kereta dicuri,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan semua suspek diyakini berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah di Klang Selatan, Klang Utara, dan Shah Alam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.