Fahmi tersepit antara 2 ekstrem, kata KJ

Fahmi tersepit antara 2 ekstrem, kata KJ

Khairy Jamaluddin berkata beliau bersimpati dengan Fahmi Fadzil berhubung kritikan dibuat mengenai prestasinya sebagai menteri.

Khairy Jamaluddin berkata kedudukan Fahmi Fadzil sebagai jurucakap kerajaan kini dipersoalkan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau bersimpati terhadap Fahmi Fadzil dari Pakatan Harapan (PH) selepas prestasinya sebagai menteri komunikasi dan digital dikritik.

Khairy berkata, Fahmi berada dalam situasi di mana dia perlu mengimbangi jangkaan penyokong PH terhadap kebebasan akhbar dan tugas rasminya dalam menjaga kepentingan Putrajaya.

Tambahnya, walaupun sesetengah penyokong PH mahukan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara yang lebih besar, terdapat juga ramai dalam kalangan mereka tidak begitu liberal.

Menurut Khairy, ada pihak yang mengecam pengarah komunikasi PH itu kerana “lemah, tidak cekap dan tidak berkesan”.

“Saya simpati kerana dia terperangkap antara dua ekstrem,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau itu dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap”.

“Prestasi beliau sebagai menteri komunikasi dan digital serta jurucakap kerajaan kini dipersoalkan, dalam keadaan agak teruk,” katanya semasa membincangkan trend “tidak liberal” yang semakin meningkat dalam kalangan penyokong PH mengenai kebebasan bersuara.

Sementara itu, hos bersama podcast itu yang juga bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, PH dan penyokongnya sebelum ini memperjuangkan kebebasan akhbar.

“Di Twitter, kita dapat lihat mereka (penyokong PH tertentu) merasakan kementerian Fahmi harus lebih agresif (dalam memerangi naratif pembangkang).

“Sudah jelas kebebasan bersuara bukan lagi menjadi mantra penyokong PH. Mantra mereka sekarang ialah bagaimana mereka akan mengawal Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan mereka (PN) tidak mendapat liputan meluas dan tidak menangkap imaginasi pengundi,” kata Shahril.

November lalu, Fahmi dilaporkan berkata PH akan “berjuang habis-habisan” menentang fitnah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya.

Katanya, sejak Anwar mengangkat sumpah, pada 24 Nov, PH berdepan “satu demi satu fitnah” daripada tuduhan bahawa kerajaan pro-Israel sehingga dikatakan menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.