Tiada ‘desakan politik’ berkait rayuan pengampunan Najib, kata Zahid

Tiada ‘desakan politik’ berkait rayuan pengampunan Najib, kata Zahid

Presiden Umno berkata pihaknya mengikuti semua prosedur perundangan sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.
MACHANG:
Hasrat Umno mempersembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada bekas presiden parti itu Najib Razak adalah mengikut prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya mengikuti semua prosedur perundangan sedia ada sebelum membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan untuk memberi pertimbangan itu.

“Kami sebagai sebuah parti politik tentunya mengikut semua prosedur perundangan sedia ada dan apabila prosedur diikuti, ia terserah kepada Lembaga Pengampunan,” katanya selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Kelantan 2023 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Zambry Abd Kadir, Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata pihaknya sudah berikhtiar untuk memperoleh tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu tidak seharusnya berbangkit kerana sesiapa sahaja dibenar mengemukakan permohonan bagi memperoleh pengampunan dan semua pihak perlu mematuhi peraturan serta syarat ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.