Jangan lupa Umno sokong RUU anti-lompat parti, Adun DAP beritahu Rauf

Jangan lupa Umno sokong RUU anti-lompat parti, Adun DAP beritahu Rauf

Wakil rakyat itu membalas pelawaan ketua menteri untuk pembangkang menyertai kerajaan perpaduannya.

Ab Rauf Yusoh berharap Melaka menjadi negeri pertama ‘sifar’ pembangkang.
PETALING JAYA:
Khoo Poay Tiong dari DAP mengingatkan ketua menteri Melaka bahawa Umno menyokong rang undang-undang (RUU) anti-lompat parti, yang diluluskan di Parlimen tahun lalu, selepas Ab Rauf Yusoh mempelawa dua Adun Perikatan Nasional (PN) menyertai kerajaan perpaduannya.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu berharap Rauf, yang juga ketua Umno Melaka, tidak lupa parti itu menjadi mangsa “katak” – istilah yang digunakan untuk menggambarkan pengkhianat – yang mencetuskan kejatuhan kerajaan negeri pada 2021.

“Mereka kehilangan negeri ini akibat tindakan mereka yang lompat parti,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Rauf berharap dua Adun PN itu menyertai kerajaan negeri sebelum RUU anti-lompat parti dibentangkan di DUN pada Julai nanti untuk Melaka menjadi negeri pertama “sifar” pembangkang.

Khoo berkata, Melaka harus berpegang kepada prinsip RUU anti-lompat parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai 2022.

Katanya, matlamat utama RUU anti-lompat parti adalah untuk setiap negeri menerima pakainya.

Walaupun Melaka belum berbuat demikian, beliau berkata, “kita perlu mengekalkan semangat itu”.

“Saya harap Rauf fikir dua kali mengenai cadangannya. Bagi saya, ia bukan idea bagus.”

Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dari DAP juga menggesa Rauf mempertimbangkan semula cadangan itu kerana Melaka mengalami pergolakan politik dua kali dalam tempoh lima tahun lalu akibat pengkhianatan.

Bekas exco perumahan negeri, kerajaan tempatan dan alam sekitar, Tey Kok Kiew berkata tiada isu untuk mempelawa PN menyertai kerajaan perpaduan.

“Tetapi, menyeru mereka bertukar parti sebelum atau selepas RUU anti-lompat parti Melaka diluluskan tidak sepatutnya berlaku.”

Beliau berkata, Rauf sudah mempunyai barisan kuat dan beliau yakin ketua menteri itu dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua PKR Melaka, Rafee Ibrahim mengalu-alukan keputusan Rauf menjemput Adun PN.

Katanya, tidak banyak yang boleh dilakukan kedua-duanya – Adun Sungai Udang, Aleef Yusof dan Adun Bemban, Yadzil Yaakub.

“Oleh itu, mereka harus mengetepikan ideologi politik mereka dan bekerjasama untuk rakyat Melaka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.