
Bagaimanapun, A Srimurugan berkata, hukuman itu tidak boleh dikeluarkan daripada buku statut kerana ia masih berfungsi sebagai pencegah kepada bakal pesalah.
“Sebatan adalah penyeksaan dibenarkan dari segi kehakiman, jadi hakim harus diberikan budi bicara sepenuhnya untuk memutuskan sama ada akan menjatuhkan hukuman itu dan berapa sebatan perlu diberikan.”
Buat masa ini, katanya, kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti rogol, liwat, sumbang mahram dan menghasut kanak-kanak melakukan perbuatan tidak senonoh boleh membawa hukuman sebat mandatori melebihi hukuman penjara.
Tetapi menurutnya, kesalahan pertama kecurian dan kesalahan seperti menyebabkan kecederaan serta rompakan bersenjata memberi budi bicara kepada hakim.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh di Dewan Rakyat pada Isnin lalu bahawa kementeriannya mengetepikan hukuman sebat untuk semakan seterusnya.
Ketika perbahasan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa hukuman sebat yang disifatkannya “sadis, primitif dan tidak berperikemanusiaan” dimansuhkan.
Srimurugan berkata, Amerika Syarikat (AS), negara Kesatuan Eropah dan kebanyakan negara Komanwel, termasuk United Kingdom (UK), Australia dan India, telah memansuhkan hukuman sebat.
“Kita juga akhirnya boleh bergerak ke arah itu, tetapi bukan sekarang kerana masyarakat kita belum matang.”
Beliau menjelaskan hukuman itu berasal dari UK dan diperkenalkan di India oleh British bagi mereka yang menentang pemerintahan kolonial.
“Kami mewarisi cara hukuman itu kerana undang-undang keseksaan kita diimport dari India.”.
Peguam Baljit Singh yang menyokong pemansuhan hukuman sebat berkata, ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal pesalah dewasa, khasnya jika dikenakan secara berlebihan.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengecualikan hukuman itu bagi pengedaran dadah dan hakim perlu diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun, bukannya hukuman mati.
“Mengapa kenakan sebatan sedangkan pesalah, walaupun terlepas daripada hukuman mati, dikehendaki menjalani hukuman penjara selama bertahun-tahun kerana pengedaran dadah,” soalnya.
Baljit turut mempersoalkan alasan kerajaan menetapkan hukuman lebih ringan bagi jenayah kolar putih yang disenaraikan dalam Kanun Keseksaan.
Seksyen 288(3) menyatakan rotan untuk sebatan bagi jenayah berat perlu berdiameter melebihi setengah inci, tetapi Seksyen 288(4) menyatakan hukuman sebat akan dikenakan mengikut cara disiplin sekolah, dengan hukuman ringan bagi mereka yang didapati bersalah bagi jenayah kolar putih.
“Wujud pilih kasih dalam kaedah hukuman,” katanya.
Ketika ini, wanita, dan lelaki yang dijatuhi hukuman mati serta mereka yang berumur 50 tahun ke atas dikecualikan daripada hukuman sebat.
Tetapi, hukuman itu masih boleh dikenakan pesalah berumur 50 tahun ke atas bagi kesalahan seksual seperti rogol dan liwat.
Undang-undang juga membenarkan maksimum 24 sebatan dikenakan.
Buat masa ini, banduan hanya boleh dikecualikan daripada sebatan, jika doktor di penjara memperakuinya tidak sihat ketika hukuman itu akan dilaksanakan. Tempoh penjara pesalah itu bagaimanapun akan dilanjutkan.