Elak kalut ‘raya awal’, isu tarikh lebaran dibawa ke Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan

Elak kalut ‘raya awal’, isu tarikh lebaran dibawa ke Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan

Mohd Na'im Mokhtar berkata kerajaan kekal menghormati kuasa diamanah mengumumkan tarikh Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan berhasrat mengelak ‘kekalutan’ tarikh sambutan Aidilfitri tahun lalu berulang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan seboleh-bolehnya mahu mengelak isu ‘raya awal’ menimbulkan kekalutan dalam kalangan umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya, menjadi hasrat bagi mengelak “kejutan” seperti itu berulang tahun lalu, namun pihaknya menyerahkan pengumuman tarikh sambutan itu kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja seperti diamanahkan Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, isu tarikh raya yang menjadi perbincangan umat Islam akan dibawa kepada Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, namun tidak diperincikan bila mesyuarat itu akan diadakan.

“Seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lalu tidak berulang supaya umat Islam tidak terkejut.

“Itu hasrat (elak raya terkejut) kita semua. Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan pra-matang sebaliknya menyerahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).

“Kita tahu bahawa kuasa mengumumkan tarikh hari raya terletak di bawah PMBRR selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya menurut Berita Harian.

Na’im ketika mengulas lanjut, menasihatkan umat Islam bersabar.

“Jadi saya rasa kita kena tunggulah, di pihak kami pastinya nak elak benda itu. Bagaimanapun, ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’.

“Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan untuk memudahkan rakyat jika situasi itu berlaku kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.