Samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki ditahan

Samun peniaga bazar Ramadan, 5 lelaki ditahan

Lelaki berusia 18 hingga 47 tahun ditahan susulan aduan daripada mangsa yang mendakwa didatangi suspek ketika berniaga.

Polis masih mengesan rakan sejenayah suspek masih bebas dan semua yang ditahan direman empat hari hingga 9 April.
PETALING JAYA:
Polis menahan lima suspek disyaki terlibat kes samun peniaga bazar Ramadan yang turut dipukul dan diserang dengan sebatang kayu dalam kejadian di Bandar Putra, Kulai, Johor kelmarin.

Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow, berkata suspek lelaki berusia 18 hingga 47 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar Taman Sentosa, Bandar Putra Kulai dan Jalan Persiaran Indahpura antara 1.30 tengah hari hingga 10.30 malam tadi.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan aduan peniaga terbabit yang mendakwa didatangi suspek ketika berniaga di bazar berkenaan.

“Mereka berbincang mengenai perniagaan mercun di tapak bazar itu sebelum seorang daripada suspek yang tidak dikenali menendang pengadu di dada hingga terjatuh.

“Pengadu kemudian diserang dengan senjata dipercayai sebatang kayu dan dipukul oleh beberapa individu ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

Serangan turut menyebabkan pengadu cedera di kepala, muka, tangan, serta badan dan dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk rawatan.

Mangsa juga kehilangan wang berjumlah RM5,405 dipercayai dirampas suspek.

“Polis menyelesaikan kes kurang 24 jam laporan dibuat. Sebatang kayu yang dijadikan senjata dan sehelai baju turut dirampas.

“Hasil siasatan awal, semua suspek mengaku terbabit dan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

“Usaha mengesan rakan sejenayah yang masih bebas giat dijalankan dan semua suspek direman empat hari hingga 9 April manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.