‘Pertimbangan berasas kaum’ terus pandu dasar kerajaan, kata Fitch Solutions

‘Pertimbangan berasas kaum’ terus pandu dasar kerajaan, kata Fitch Solutions

Bahagian penyelidikan Fitch Ratings meramalkan kebuntuan dalam penggubalan dasar disebabkan perbezaan ideologi antara parti anggota kerajaan Anwar Ibrahim.

Bahagian penyelidikan Fitch Ratings berkata belum dapat ditentukan sama ada pentadbiran Anwar Ibrahim akan dapat menangani rasuah secara berkesan dari dalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bahagian Penyelidikan Risiko Negara dan Industri Fitch Solutions menjangkakan “pertimbangan” berasaskan kaum terus memandu dasar kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Ia dijangkakan berlaku walaupun Pakatan Harapan (PH) berterusan berjanji untuk bergerak ke arah dasar berasaskan keperluan, berbanding kaum, kata cabang penyelidikan agensi penarafan kredit Amerika Syarikat, Fitch Ratings.

Memetik PRN akan datang, Fitch Solutions menegaskan Perikatan Nasional (PN) memegang negeri Melayu yang kebanyakannya lebih miskin, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala PH mentadbir Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Kemenangan jelas oleh PN boleh memberikan tekanan kepada kerajaan campuran untuk melaksanakan lebih banyak dasar pro-Melayu bagi meningkatkan sokongan dalam kalangan kumpulan teras ini,” katanya.

Ia turut meramalkan kebuntuan pada masa akan datang dalam penggubalan dasar oleh kerajaan perpaduan, yang terdiri daripada pelbagai pihak dengan ideologi berbeza.

Fitch Solutions memetik bagaimana Timbalan Ketua DAP Pulau Pinang P Ramasamy dikecam kerana mendesak kerajaan menangani ketidakseimbangan kaum dalam perkhidmatan awam, yang akhirnya menyebabkan Anwar berkata, kerajaan tidak berhasrat merombak perkhidmatan awam.

“Pandangan yang berbeza antara pemimpin tertinggi dalam gabungan tidak banyak memberikan keyakinan bahawa parti-parti anggotanya akan dapat mencapai kata sepakat berhubung perkara lain berkaitan etnik,” katanya.

Markah penggubalan dasar Malaysia masih rendah

Fitch Solutions mengekalkan skor penggubalan dasar Malaysia pada 72.9 daripada 100. Markah ini masih rendah dan bawah 75.6 direkodkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada April 2018.

Katanya, masih perlu dilihat sama ada kerajaan Anwar mampu merangka dan melaksanakan reformasi mengenai perkara yang “lebih menimbulkan perbalahan politik” sebagaimana berkesannya usaha kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.

Menurutnya, Belanjawan 2023, yang diluluskan oleh Dewan Negara semalam, tidak memperkenalkan sebarang pembaharuan fiskal atau cukai besar yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dari segi politik mahupun sosial.

Fitch Solutions turut meramalkan kerajaan Anwar bergelut untuk meluluskan reformasi anti-rasuah yang meluas, dengan berkata setakat ini, usaha pentadbiran disasarkan kepada pembangkang.

“Masih belum dapat ditentukan sama ada kerajaan akan dapat menangani rasuah secara berkesan dari dalam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.