Pengedar ‘dadah serbaneka’ ditahan, rampasan lebih RM200,000

Pengedar ‘dadah serbaneka’ ditahan, rampasan lebih RM200,000

Lelaki berusia 52 tahun ditahan selepas polis menyerbu kawasan parkir sebuah pangsapuri di Air Itam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM227,914 dalam dua serbuan di Air Itam dan Jelutong pada Isnin, susulan penahanan seorang lelaki yang merupakan penagih dan pengedar tegar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, anggotanya menyerbu kawasan parkir sebuah pangsapuri di Air Itam pada 12.30 tengah hari dan menahan lelaki berusia 52 tahun itu.

“Pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis merampas 100 keping aluminium foil yang mengandungi 1,000 biji pil Erimin 5 bernilai RM8,000 dalam beg silangnya dan dipercayai suspek ketika ditahan mahu menghantar dadah tersebut kepada pembelinya.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah di Jelutong pada 4 petang dan merampas pelbagai jenis dadah iaitu syabu seberat 4,502g, heroin (982g), ganja (43.3g), ketamin (87.5g), serbuk methylenedioxy-methamphetamine atau MDMA (1,317g), 850 biji Erimin 5, ekstasi (1,400 biji), dan pil kuda (800 biji),” katanya pada sidang media.

Berdasarkan siasatan lelaki itu menjadikan rumahnya di Jelutong sebagai tempat menyimpan dan membungkus semula dadah yang dijualnya.

Siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mendapatkan bekalan dadah daripada pelbagai sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual untuk pasaran tempatan.

Menurut Shuhaily, lelaki yang mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu boleh dikatakan seperti “kedai serbaneka” menjual dadah kerana dia memiliki semua jenis dadah yang dijual di pasaran.

“Lelaki itu dipercayai menjual dadah tersebut di pelbagai lokasi mengikut jenis dadah contohnya seperti pil dan MDMA dijual di pusat hiburan sekitar negeri ini kerana mendapat permintaan tinggi pelanggan di situ.

“Berdasarkan siasatan kami juga mendapati rekod lampau suspek sejak 2014 dan kali terakhir dia dikenakan hukuman pada 2019 bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK), lelaki itu memang penagih dan pengedar dadah tegar serta beberapa kali dikenakan hukuman penjara,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman enam hari hingga 9 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Semua dadah itu boleh digunakan 31,060 penagih dan susulan penahanan suspek, polis menyita sebuah motosikal serta kereta yang kedua-duanya bernilai RM37,500 dan wang tunai RM2,010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.