Lelaki pecah cermin rumah bekas isteri dicekup

Lelaki pecah cermin rumah bekas isteri dicekup

Keputusan ujian saringan air kencing terhadap suspek berusia 46 tahun mendapati lelaki itu positif dadah.

Tangkap layar video tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki memecahkan cermin rumah bekas isterinya.
IPOH:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman klip video mengenai perbuatan memecahkan cermin sebuah rumah di Taman Pinji Indah, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata hasil semakan terhadap laporan dibuat pengadu pada Selasa mendapati suspek yang menceroboh dan melakukan perbuatan khianat adalah bekas suami pengadu.

Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan melibatkan pencerobohan jenayah.

Siasatan polis semalam menghasilkan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun di Taman Ipoh, yang dipercayai bertanggungjawab dalam kes tersebut.

“Keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek ini turut mendapati beliau positif dadah jenis methamphetamine. Suspek akan direman pada 6 April (hari ini) untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, maka kes itu diselesaikan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan mahupun mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.