
Pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fauziah Mohd Saad berkata, ibu bapa harus peka dengan persekitaran dan aktiviti anak-anak selain menetapkan hierarki, batas, dan komunikasi secara jelas.

“Pertama dalam institusi hierarki, batas, dan komunikasi perlu jelas. Jika tiada ketiga-tiga ini jadi kita khuatir anak-anak tidak terdidik daripada awal. Perlu ada pendedahan abang tidak boleh masuk ke dalam bilik adik perempuan apabila sudah baligh.
“Didik diri kita dan anak-anak untuk menjaga batas walaupun di rumah. Pengasingan bilik tidur, pergaulan, dan tingkah laku perlu diambil kira. Pendidikan seksual perlu diterapkan dari awal sebagai kesedaran dan langkah pencegahan dari peringkat awal,” katanya kepada FMT.
Internet atau pengaruh orang lain
Fuziah berkata, proses pembesaran ditambah dengan fasa perasaan ingin tahu jika tiada bimbingan ibu bapa antara faktor anak-anak tidak sedar sumbang mahram merupakan kesalahan di sisi undang-undang dan agama.
Mengulas lanjut, berdasarkan pengalamannya, wujud kes di mana kanak-kanak seawal usia 6 tahun sudah ketagihan melakukan aktiviti seksual yang dipelajari mungkin dari internet atau pengaruh individu lain.
“Kita tidak boleh tolak kemungkinan anak terutamanya lelaki akan tengok benda tersebut (bahan lucah), kemudian apabila dia terangsang dan sebagainya adiknya yang ada dalam rumah menjadi mangsa untuk dia melepaskan nafsu syahwat dia.
“Mereka ini dalam proses membesar dan mungkin ada yang terasa benda itu tidak salah. Bermula dengan tidak rela tapi apabila kerap kali terjadi, mereka akan boleh jadi ketagih,” ujarnya.
Dapatkan nasihat pakar
Tambahnya, buat ibu bapa yang berdepan dengan isu sumbang mahram, pertama sekali harus menerima apa yang telah berlaku dan jangan menyalahkan diri. Sebaliknya, memaafkan diri dan buka ruang untuk membuat perubahan agar ia tidak berulang.
Fuziah berkata, keluarga berkenaan wajar mendapatkan sokongan dan nasihat pakar dan pihak berkuasa bagaimana untuk mengurus dan menangani anak-anak yang sudah terjebak dengan sumbang mahram.
“Dapatkan khidmat pakar kaunseling atau seseorang (yang boleh memberi nasihat). Kita jangan terus buang anak itu. Pahit untuk kita terima situasi ini tetapi sebagai ibu bapa tabah menerima dan beri peluang untuk mereka berubah. Jumpa dengan pakar dapatkan nasihat terbaik bagaimana mahu menangani perkara ini,” katanya.
Menurut statistik polis pada 2021, lima negeri merekodkan sumbang mahram paling tinggi pada tahun lepas iaitu Selangor dan Sabah masing-masing 38 kes, diikuti Johor (36 kes), Sarawak (24), dan Perak (20).
Februari lalu, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Jelebu atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung sehingga melahirkan anak.
Pada Januari 2019, di Kampar, Perak seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan kakak kandungnya berusia 16 tahun.