Melaka wujud semula jawatan timbalan exco, kata Rauf

Melaka wujud semula jawatan timbalan exco, kata Rauf

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata jawatan itu akan dianggotai semua Adun kerajaan untuk membantu exco yang dilantik mengikut portfolio ditetapkan.

Ab Rauf Yusoh berkata jawatan itu diwujudkan semula bagi memberi peluang kepada semua Adun untuk sama-sama berperanan membangunkan Melaka mengikut acuan kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatan timbalan exco Melaka yang sebelum ini dimansuhkan pada 2018 diwujudkan semula, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, jawatan itu akan dianggotai semua Adun kerajaan untuk membantu exco yang dilantik mengikut portfolio ditetapkan.

Katanya, ia diwujudkan semula bagi memberi peluang kepada semua Adun untuk sama-sama berperanan membangunkan Melaka mengikut acuan kerajaan perpaduan yang baru ditubuhkan.

“Saya akan melantik timbalan exco yang komposisinya cantik dan menarik dan akan mengumumkannya selepas mesyuarat exco pertama esok,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia Ahli Exco negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, Melaka.

Pembentukan kerajaan perpaduan di Melaka direalisasikan menerusi pelantikan 10 exco termasuk seorang daripada DAP.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Melaka dijangka mewujudkan jawatan timbalan exco membabitkan beberapa portfolio penting, selain memberi bayangan beberapa muka lama akan digugurkan.

Katanya, barisan exco dilantik turut diisi parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat pusat, selain wakil BN sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.