
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, berkata Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan untuk memberi masa pada kerajaan menyelesaikan perkara itu.
“Jabatan Perkhidmatan Awam sedang memuktamadkan cadangan kepada kerajaan,” katanya kepada FMT selepas pengurusan kes dalam talian.
Peguam Christopher Leong, yang berada dalam pasukan undang-undang untuk mewakili 28 pesara hakim dan tujuh balu bekas hakim, turut mengesahkan perkara terbabit.
“Mahkamah memberi lebih masa kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan cadangan penyelesaian,” katanya.
Leong berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan memasukkan Jeffrey Tan dan Ann Chan, balu dan tanggungan mendiang NH Chan, sebagai plaintif.
Dalam saman difailkan awal tahun lalu, plaintif berkata, mereka sedang mencari penyelesaian undang-undang kerana kerajaan enggan melayan notis tuntutan dihantar September 2021.
Plaintif memohon pengisytiharan pencen mereka perlu diselaraskan setiap tahun, berdasarkan gaji hakim semasa.
Masalah timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 bagi hakim, memberikan pencen lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka bersara selepas pindaan.
Mereka bersara sebelum 2015, bagaimanapun, terus menerima pencen berdasarkan gaji lama mereka ditambah kenaikan tahunan 2%.