PKBM lantik jurulatih sementara selepas laporan gangguan seksual

PKBM lantik jurulatih sementara selepas laporan gangguan seksual

Ia bagi memastikan persiapan skuad negara ke temasya Sukan SEA di Kemboja bulan depan berjalan lancar.

Amarjit Singh Gill berkata, Nor Alfizar Othman hanya dipinjamkan sementara daripada Majlis Sukan Kedah dan akan kembali ke negeri itu selepas Sukan SEA tamat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) melantik Nor Alfizar Othman sebagai jurulatih sementara skuad berbasikal bukit (MTB) berkuat kuasa 1 April lalu, menggantikan jurulatih yang digantung susulan laporan gangguan seksual.

Naib Presiden PKBM, Amarjit Singh Gill, berkata pelantikan itu bagi memastikan persiapan skuad negara ke temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini, berjalan lancar.

“Alfizar hanya pinjaman sementara daripada Majlis Sukan Kedah dan akan kembali ke Kedah selepas Sukan SEA tamat.

“Berbaki 27 hari sebelum Sukan SEA bermula, jadi kami prihatin dengan mental, emosi dan fokus pelumba dan paling penting, PKBM mahu pastikan atlet berada dalam keadaan selamat. Biar polis jalankan siasatan mereka,” katanya menurut Bernama.

Alfiza, 46, merupakan jurulatih sukan berbasikal Kedah yang memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat pelumba muda meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sehingga mampu meraih pingat emas dalam acara 500m ujian masa di New Delhi pada 20 Jun 2022.

Jumaat lalu, PKBM mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita MTB dan ia segera menggantung jurulatih terbabit untuk membantu siasatan, tetapi jurulatih itu kemudiannya dilaporkan meletak jawatan.

Atlet skuad Sukan SEA berusia 20-an itu dalam laporan polisnya Khamis lalu mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya semasa menjalani latihan bersama pasukan.

Amarjit berkata, semua pelumba, termasuk mangsa sudah kembali ke kem latihan semalam untuk menjalani latihan di Nilai.

Katanya, mangsa kini dalam keadaan stabil dan mempamerkan semangat juang tinggi untuk mewakili negara dalam usaha mengibarkan bendera Malaysia di temasya dwitahunan itu.

“Saya telah bercakap dengan beliau Sabtu lepas selama setengah jam melalui panggilan telefon. Emosinya terganggu apabila kejadian ini berlaku dan sudah tentu kami memuji (keberanian) beliau untuk tampil (buat laporan polis).

“Namun, selepas panggilan telefon itu, beliau meyakinkan saya dan Naib Presiden II PKBM, Saiful Abdul Jalil, yang beliau 100% bersedia menghadapi situasi (mendapat perhatian media) dan mewakili negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.