
Peguam Brendan Siva, yang mewakili 1MDB, ketika dihubungi, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes berlangsung secara dalam talian.
“Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua defendan (Irwan dan Arul Kanda) memfailkan afidavit tambahan bagi permohonan mereka untuk meminda pernyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Mei ini serta memfailkan hujahan tambahan untuk permohonan pembatalan saman sekiranya ada pada tempoh masa sama (31 Mei),” katanya.
Prosiding itu turut dihadiri peguam K Lavinia mewakili Irwan manakala peguam K Gobinath bertindak bagi pihak Arul Kanda.
Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Feb 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak USD1.83 bilion dan USD3.5 bilion.
Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawab atas kerugian ditanggung 1MDB hasil penyelewengan dilakukan orang lain.
Arul Kanda dan Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah USD1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah USD3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.
Menurut 1MDB, Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian tersebut tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar USD6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.