Rasuah berlaku kerana pemberi ‘selesa’, dakwa Cuepacs

Rasuah berlaku kerana pemberi ‘selesa’, dakwa Cuepacs

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata beliau kecewa 'barah meminta suapan dalam sistem perkhidmatan kerajaan' masih lagi ditegur perdana menteri.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata orang ramai patut melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada penjawat awam meminta suapan atau komisen bagi sesuatu projek.
PETALING JAYA:
Cuepacs mendakwa amalan meminta komisen dalam kalangan pegawai kerajaan terus berlaku disebabkan pemberi “selesa” dan perkara itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Presiden Adnan Mat berkata, beliau kecewa “barah meminta suapan dalam sistem perkhidmatan kerajaan” masih lagi ditegur perdana menteri, walaupun usaha membanteras gejala itu berulang kali dilaungkan.

“Sekarang, mereka (pemberi) sendiri merasakan amat selesa jika pegawai itu minta. Itu masalahnya.

“Jika pegawai itu minta, patutnya mereka lapor terus. Masalah yang berlaku sekarang adalah jika pegawai itu minta mereka (pemberi) merasakan amat selesa malah mereka ingin perkara (rasuah) itu berlaku,” katanya kepada FMT.

“Pihak luar memang ingin nak bagi, dia nak proses permohonan itu cepat melangkaui semua tatacara. Itu isunya,” katanya.

Semalam, berucap sempena perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengakui menerima laporan ada penjawat awam masih meminta komisen untuk sesuatu projek.

Katanya, “budaya lama” oleh kerajaan terdahulu itu sukar dibanteras.

Mengulas lanjut, Adnan menggesa individu yang berurusan dengan jabatan kerajaan dan diminta memberi suapan, melaporkan segera kepada pihak berkuasa supaya kegiatan itu dapat dibanteras.

“Jika pegawai itu minta, semua orang yang berurusan perlu membuat laporan maka amalan ini jika berterusan, tidak akan berlaku lagi unsur-unsur atau jenis permintaan rasuah tersebut.

“Cuma di luar sana ‘berseronok’ jika proses ini berlaku dan mereka mahu budaya ini berterusan. Sebab itu perkara ini masih berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.