Lelaki tabur paku atas jalan tiada kaitan bengkel, khidmat tunda

Lelaki tabur paku atas jalan tiada kaitan bengkel, khidmat tunda

Polis berkata perbuatan khianat itu dilakukan lelaki berusia 45 tahun dipercayai berada bawah pengaruh dadah.

Tangkap layar video menunjukkan seorang pemandu kereta menabur paku di kawasan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing dekat Batu Gajah, Perak, Sabtu lalu.
IPOH:
Pemilik kenderaan Nissan Almera yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden menabur paku di kawasan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing dekat Batu Gajah tidak mempunyai kaitan dengan perkhidmatan menunda atau bengkel kenderaan.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hasan Basri, berkata perbuatan khianat itu dilakukan lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai berada bawah pengaruh dadah.

“Lelaki itu berjaya ditahan polis Sabtu lepas. Hasil siasatan mendapati lelaki itu bukan bekerja sebagai mekanik atau bersekongkol dengan mana-mana bengkel kenderaan dan perkhidmatan penunda kenderaan,” katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak.

Terdahulu Ketua Polis Batu Gajah, Mohamad Roy Suhaimi Sarif memaklumkan polis menahan lelaki itu di sekitar Changkat Larang, Lahat, 3 pagi, Sabtu lalu.

Beliau berkata, lelaki itu ditahan susulan satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

Sebelum itu tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 24 saat yang dirakam oleh pemandu kenderaan lain, memaparkan pemandu kereta itu menabur paku di persimpangan jalan raya dari tingkap kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.