
Ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Sheikh Alauddin bimbang mogok itu boleh menyebabkan temujanjinya ditangguhkan sekali gus lewat mendapatkan rawatan.
Sheikh berkata, dia tidak tahu ada mogok dan keadaan di hospital hari ini kelihatan seperti biasa. Bagaimanapun, dia simpati dengan nasib doktor kontrak dan berkata, mesti ada sesuatu yang tidak betul sehingga mereka sanggup bertindak demikian.
“Doktor dilatih untuk menjadi profesional tetapi protes hingga ke tahap ini bermakna isu yang mereka hadapi sangat serius,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi pesakit hanya mahu dikenali Azian berkata, dia sedar dengan rancangan mogok itu dan bimbang keadaan di hospital akan menjadi lebih sesak.
Katanya, semua maklum keadaan hospital kerajaan yang sesak dan perlu menunggu lama, dan sebarang tindakan mogok oleh doktor akan memburukkan lagi keadaan.
“Bukan bila-bila masa kami boleh datang ke sini. Kami terikat dengan pelbagai urusan dan tidak boleh ramal bila akan sakit,” katanya.
Sementara itu, seorang wanita yang membawa bapa mentuanya untuk pemeriksaan rutin berkata, dia tidak mengetahui mengenai mogok tetapi menunggu lebih 30 minit untuk mengambil ubat.
Katanya, urusannya di hospital sebelum ini tidak mengambil masa terlalu lama dan kelewatan itu mungkin berpunca akibat kekurangan doktor.
Di Hospital Serdang pula, seorang pesakit mahu dikenali sebagai Amin berkata dia menunggu selama beberapa jam tetapi belum bertemu doktor. Tidak menyedari adanya mogok, Amin berkata dia berada di hospital sejak 10 pagi dan masih menunggu hingga 2 petang.
Amin turut menyatakan sokongan kepada doktor kontrak untuk mengadakan mogok tetapi berharap mereka boleh mengambil tindakan lain yang tidak menjejaskan pesakit.
“Mereka boleh mogok tetapi ia akan memberi kesan buruk kepada pesakit. Sekiranya mereka ada cara lain ia lebih baik. Tetapi saya sokong mereka, doktor bekerja keras untuk rakyat,” katanya.
Seorang pesakit, Viren, berkata dia tidak melihat ada tanda mogok kerana semuanya kelihatan normal di hospital.
Dalam pada itu, seorang pesakit yang enggan dikenali berkata dia tidak tahu mengenai mogok itu. Katanya, dia menunggu sedikit lama hari ini tetapi berpendapat ia mungkin kerana bulan puasa.
Lebih 8,000 doktor kontrak dijangka melancarkan mogok bermula hari ini hingga Rabu dengan mengambil cuti sakit atau kecemasan. Mereka membantah apa yang disifatkan sebagai sistem tidak adil dan bayaran gaji rendah.
Kumpulan itu juga memberi amaran waktu menunggu lebih lama di klinik kesihatan dan hospital kerajaan sepanjang tiga hari mogok tersebut.
Katanya, lebih 3,000 doktor kontak mungkin meletak jawatan beramai-ramai dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, tinjauan FMT di HKL dan Hospital Serdang mendapati operasi berjalan seperti biasa.