Ikan buntal – Hidangan istimewa bawa maut

Ikan buntal – Hidangan istimewa bawa maut

Walaupun mengandungi racun 1,200 kali ganda lebih toksik daripada sianida, ikan buntal dinikmati sebagai hidangan mewah di Jepun, Korea dan China.

Racun dalam seekor ikan buntal cukup untuk membunuh 30 orang dewasa dan tiada penawar diketahui wujud, menurut National Geographic. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 83 tahun di Johor dilaporkan maut selepas makan ikan buntal, spesies ikan laut dan muara yang mengandungi racun 1,200 kali ganda lebih toksik daripada sianida.

Ikan itu dikatakan dinikmati sebagai hidangan istimewa di restoran mewah di Jepun, Korea dan China.

FMT melihat lebih dekat ikan membawa maut itu, yang dikatakan meragut nyawa kira-kira 100 orang setiap tahun.

Apa itu ikan buntal?

Ikan buntal atau Tetraodontidae ialah ikan omnivor yang terdapat di perairan kebanyakan zon sederhana dan beriklim tropika, berhampiran kawasan seperti Asia Tenggara, Amerika Selatan dan Afrika.

Apabila berasa terancam, ikan buntal akan mengisi perut kenyalnya dengan air supaya ia mengembang dan menonjolkan durinya.

Racun ikan buntal

Toksin dalam ikan buntal, yang dikenali sebagai tetrodotoxin, dikatakan salah satu racun paling membawa maut yang wujud secara semula jadi.

Tetrodotoxin terdapat dalam hati, organ pembiakan, usus dan kulit ikan buntal. Dikatakan, ovari ikan buntal sangat toksik, manakala testisnya menjadi makanan istimewa.

Bagaimanapun, bahagian beracun pada ikan buntal berbeza mengikut spesies.

Menurut National Geographic, racun dalam seekor ikan buntal cukup untuk membunuh 30 orang dewasa dan tiada penawar diketahui wujud.

Memakan ikan buntal yang tidak disediakan tukang masak bertauliah boleh menyebabkan keracunan makanan yang serupa dengan keracunan apabila memakan kerang-kerangan yang boleh melumpuhkan, disebabkan penyingkiran lemah toksin.

Gejala keracunan ikan buntal termasuk pengeluaran air liur berlebihan, rasa kebas, kesemutan di sekitar mulut, mual dan muntah. Gejala ini boleh timbul antara 10 hingga 45 minit selepas makan ikan tersebut.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat, racun itu tidak boleh dimusnahkan dengan memasak atau membekukan ikan. Membekukan, kemudian mencairkan ikan buntal sebelum mengeluarkan organ toksiknya boleh mengakibatkan racun berpindah ke isi ikan.

Diharamkan di Malaysia

Di Jepun, ikan buntal dikenali sebagai “fugu” dan hanya boleh disediakan cef yang lulus peperiksaan pengendalian ikan itu, lazimnya selepas tamat perantisan dan latihan ketat di bawah individu yang sudah layak mengendalikan fugu.

Di Malaysia, penjualan ikan buntal diharamkan di bawah Akta Makanan, yang menetapkan mana-mana makanan mengandungi atau mempunyai sebarang bahan beracun, berbahaya atau memudaratkan kesihatan dilarang.

“Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi racun berbahaya tidak dibenarkan dijual,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.