
Awang mendakwa, Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan tidak betul berhubung pengurangan tanah rizab Melayu di Kedah, dengan menyatakan bahawa terdapat bukti keluasannya sebaliknya meningkat.
“Kedah ada lebih kurang 721,496.95 ekar pada 1933, sekarang 721,905.61 ekar, jadi maknanya pengurusan Kedah sangat baik.
“Sila perbetulkan balik (kenyataan) dan mohon maaf (kerana) menyatakan Kedah negeri yang paling banyak hilang tanah rizab Melayu,” katanya di dalam Dewan Rakyat hari ini.
Awang diarahkan keluar oleh Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yeng selepas didapati melanggar Peraturan Mesyuarat 36(6) mengenai larangan ahli Dewan Rakyat mengeluarkan sangkaan jahat terhadap ahli lain.
Pada 29 Mac, Nik Nazmi memaklumkan, tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkurangan antara 2021 dan 2022.
Tanah rizab Melayu di Kedah berkurangan daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, katanya.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menafikan dakwaan Nik Nazmi, dengan menyatakan bahawa data sehingga 19 Jan menunjukkan keluasan tanah rizab Melayu di Kedah meningkat 408 hektar.
Ini adalah kali kedua Awang diarahkan keluar Dewan sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 berlangsung, yang kini masuk minggu keempat.
Beliau pertama kali diarahkan keluar Dewan pada 8 Mac selepas enggan berhenti mencelah dan mengganggu perbahasan Bajet 2023 peringkat dasar oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, walaupun telah diberikan amaran.
Dalam pada itu, Shahidan Kassim (PN-Arau) turut diarah meninggalkan hari ini Dewan selepas tidak mengakui memanggil Ahli Parlimen Bagan “penyamun”.
Ahli Parlimen Besut diarah keluar Dewan lagi
Sementara itu, Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor mengarahkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) meninggalkan Dewan kerana datang pada hari ketiga penggantungannya.
Ahli Parlimen PAS itu diarah meninggalkan Dewan pada 29 Mac kerana enggan duduk walaupun berulang kali disuruh berbuat demikian.
Beliau bertindak sedemikian berikutan perbalahan antara beberapa Ahli Parlimen pembangkang dengan Timbalan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Ramkarpal Singh mengenai rang undang-undang pindaan bagi Kanun Keseksaan yang disediakan dalam bahasa Inggeris.
Che Mohamad Zulkifly berkata, beliau boleh menyertai semula sidang Dewan, mendakwa Fasal 44(2) Peraturan Mesyuarat Parlimen tidak menyatakan hari bersidang dan tidak bersidang.
Mengikut fasal itu, pengerusi Dewan Rakyat hendaklah memerintahkan mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan menghina Dewan atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, untuk keluar daripada Dewan bagi tempoh tidak melebihi sepuluh hari. Ahli tersebut hendaklah dengan serta-merta keluar daripada Dewan.
Ramli membetulkan Che Mohamad dengan menyatakan bahawa beliau menjelaskan dalam keputusannya minggu lepas bahawa Ahli Parlimen itu digantung selama tiga hari persidangan, iaitu 29 Mac, 30 Mac dan 3 April.
“Maksud saya adalah (penggantungan dibuat pada) masa persidangan. Yang Berhormat tidak boleh berada (di dalam Dewan),” kata Ramli kepada Che Mohamad Zulkifly.