Pemain biola harap ada tawaran persembahan, mahu kumpul dana rawatan bapa

Pemain biola harap ada tawaran persembahan, mahu kumpul dana rawatan bapa

Endang Hyder berharap dapat mengumpul RM20,000 untuk penjagaan bapanya yang menghidap diabetes.

Endang Hyder membuat persembahan di acara dan program dengan bayaran RM2,500 untuk menampung bil perubatan bapanya yang menghidap diabetes.
PETALING JAYA:
Seorang pemain biola tempatan menawarkan persembahan di pelbagai acara dan majlis dengan bayaran hanya RM2,500 bagi menampung kos rawatan bapanya yang menghidap diabetes.

Ell Zain Hyder, atau lebih dikenali sebagai Endang Hyder, menarik perhatian baru-baru ini apabila beliau mengiklankan perkhidmatannya di Twitter. Beliau juga telah mula mengumpul dana secara dalam talian menerusi laman web Launch Good.

Endang, 37, seorang guru muzik, bermain biola sejak berusia 10 tahun dan belajar muzik klasik di Ireland Utara.

Beliau berkata, bapanya, Zainuddin Ottok, menghidap diabetes sejak 2010. Kedua-dua kakinya telah dipotong, manakala penglihatannya juga semakin pudar.

“Keadaan bapa saya semakin baik tetapi dia perlu dijaga sepanjang masa sekarang,” katanya kepada FMT.

Endang membelanjakan kira-kira RM5,000 sebulan untuk perbelanjaan perubatan bapanya.

Endang Hyder sewaktu kecil bersama bapanya, Zainuddin Ottok.

Komitmen kerjaya menuntut beliau pergi ke Indonesia tidak lama lagi selama kira-kira sebulan. Walaupun ibu dan kakaknya membantu menjaga Zainuddin, seorang bekas guru, mereka masih tidak cukup tangan, katanya.

Endang berharap dapat mengumpul kira-kira RM20,000 untuk mengupah seorang jururawat lelaki berdaftar dan pembantu wanita untuk menjaga bapanya setiap hari.

Walaupun beliau pada mulanya mula mengumpul dana dalam talian untuk rawatan biasa dan untuk membeli peralatan untuk bapanya, termasuk kerusi roda elektrik, beliau kini juga berharap mata bapanya dapat dirawat.

Beliau melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan yang mencurah-curah, malah dari luar negara, yang telah memudahkan urusan bapanya.

“Menerusi laman web itu, saya akan memberi maklumat terkini mengenai perbelanjaan bapa saya bagi setiap sumbangan orang ramai,” katanya sambil menambah, Zainuddin turut menerima elaun zakat daripada Adun Tualang Sekah Azlan Helmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.