
Lembaga Racun mengundi menentang pengecualian dua produk itu bagi melindungi orang ramai daripada ketagihan nikotin, kata pengerusinya, Dr M Murallitharan.
“Tetapi, menteri menggunakan kuasanya untuk menolak keputusan itu,” katanya kepada FMT.
Dalam warta yang diterbitkan semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, cecair dan gel nikotin, yang digunakan untuk produk vape dan rokok elektronik, dikecualikan daripada Akta Racun.

Pengecualian itu membenarkan penjualan dua produk itu, serta tampalan nikotin yang digunakan untuk berhenti merokok, di kaunter.
Tanpa pengecualian itu, produk yang mengandungi nikotin hanya boleh didapati menerusi preskripsi doktor atau farmasi.
Murallitharan kini bimbang akan kesan pengecualian itu.
‘Tiada undang-undang halang penggunaan oleh kanak-kanak’
Murallitharan berkata, kanak-kanak kini boleh menggunakan vape tanpa sebarang akibat perundangan “kerana tiada undang-undang menghalangnya”.
Beliau juga tidak lagi yakin rang undang-undang generasi penamat (GEG) akan dibentangkan.
RUU itu bertujuan untuk mengharamkan penggunaan, pemilikan dan penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007.

“Walaupun ia dibentangkan dan diluluskan pada Jun atau Julai tahun ini, sudah pasti ada penagih baharu, termasuk kanak-kanak,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib juga kecewa dengan pengumuman itu. Ia dilakukan tanpa mengambil kira kesihatan kanak-kanak, katanya.
‘Tiada lagi perlindungan’
“Keputusan itu dibuat tanpa memikirkan hakikat bahawa tiada perundangan atau peraturan menghalang, menyekat atau melarang pembuatan, pemasaran dan penjualan produk vape yang disasarkan pada pengguna muda dan mengandungi kandungan nikotin tinggi.
“Ia menyingkirkan sekatan terakhir yang boleh menyediakan beberapa bentuk had atau kawalan; kini tiada lagi perlindungan (untuk kanak-kanak dan pengguna muda),” katanya.
Tambahnya, RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok mesti dibentang, diundi dan diluluskan di Parlimen, bagi menyediakan beberapa bentuk peraturan mengenai cecair dan gel yang mengandungi nikotin, berikutan warta itu.
“Kita perlu isi kelompongan yang telah kita wujudkan dengan sengaja,” katanya.