
Penyokongnya bimbang Ramasamy akan menerima padah kerana lantang bersuara.
Seorang pemimpin tempatan yang telah bersama parti selama lebih 30 tahun berkata, setakat ini Ramasamy tidak melanggar disiplin parti, selain mengeluarkan pendapat bertentangan dengan pendirian kerajaan.
“Ramasamy menyiarkan kenyataan hampir setiap hari di media sosial mengenai isu semasa. Beliau dengan berani mempertahankan komuniti India, terutamanya apabila terdapat kenyataan yang tidak adil.
“Kadang-kadang, ini menyebabkan beliau dicop sebagai rasis oleh pembangkang,” kata pemimpin tempatan yang enggan namanya disiarkan.
“Selain itu, beliau membangkitkan beberapa isu yang cuba dielakkan oleh kepimpinan negara kerana hubungan parti dalam kerajaan perpaduan.
“Walaupun ada yang mengatakan beliau harus berhati-hati, tetapi pihak lain berpendapat parti perlu mempunyai individu yang lantang bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih.”
Beliau berkata, ada yang melabel Ramasamy sebagai “tidak bermain untuk pasukan” hanya kerana pengalaman lalunya dalam bidang akademik mendorongnya mengulas isu secara bebas.
Ramasamy pernah menjadi pensyarah sains politik sebelum membuat penampilan sulung dalam PRU pada 2008.
Seorang lagi pemimpin membandingkan nasibnya dengan Ahli Parlimen tiga penggal, Charles Santiago yang tidak suka menonjolkan diri dan bergaul dengan orang besar dalam parti. Beliau digugurkan daripada menjadi calon pada PRU15.
Kerja Ramasamy berhubung sekolah Tamil dan dengan golongan masyarakat yang tertindas mengagumkan seorang ahli lain dalam partinya.
Beliau berkata, hujah bahawa tiga penggal sudah cukup tidak kukuh kerana parti itu mempunyai sejarah membenarkan Ahli Parlimen dan Adun berkhidmat selama lebih empat atau lima penggal.
Ramasamy menjadi Adun Perai sejak 2008 dan juga timbalan ketua menteri sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa di Pulau Pinang pada tahun itu.
Satu kemungkinan alasan tindakan terhadap Ramasamy adalah pertembungannya dengan bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto sebelum PRU15 November lepas.
“Sesetengah penyokong tegar Ramasamy menyulitkan Kasthuri di Batu Kawan, yang diambil alih (daripada Ramasamy) pada 2013. Dalam langkah yang mengejutkan, (Kasthuri) enggan mempertahankan kerusinya selepas dua penggal.
“Ini nampaknya selepas kepimpinan gagal bertindak walaupun setelah beliau membuat aduan rasmi mengenai gangguan terhadap pemimpin tertentu,” kata sumber parti itu.
Sumber itu berkata, wujudnya corak kepimpinan dalam DAP di mana ahli menjadi calon pilihan raya menghadapi nasib sama, mungkin kerana mereka tidak sesuai dengan budaya “Yes Men”.
“Antaranya Ramasamy, Charles Santiago, Kua Kia Soong dan Ong Kian Meng. Pemimpin yang sudah berpuluh tahun berada dalam parti, perlu disanjung dan dihargai atas pengorbanan mereka selama beberapa dekad,” katanya.
Ramasamy secara terbuka menyatakan bahawa beliau mahu kekal untuk tempoh sepenggal lagi tetapi akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.
Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menolak laporan berita Ramasamy akan digugurkan sebagai calon.