Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri, kata Adun Umno

Saya tak sokong Rauf sebagai ketua menteri, kata Adun Umno

Jailani Khamis berkata, ketika PRN Melaka pada 2021, BN berjanji calon ketua menterinya akan kekal hingga habis penggal.

Jailani Khamis berkata, beliau menentang pelantikan Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri Melaka.
PETALING JAYA:
Adun Rembia dari Umno, Jailani Khamis berkata, beliau tidak menyokong Ab Rauf Yusoh sebagai ketua menteri Melaka.

Bekas exco itu berkata, dengan pelantikan Rauf, Barisan Nasional (BN) dan Umno memungkiri satu manifesto penting ketika PRN Melaka pada 2021.

Beliau mendakwa gabungan itu berjanji calon ketua menterinya untuk PRN Melaka, Sulaiman Md Ali akan kekal sehingga habis penggal.

“Manifesto itu adalah janji pada rakyat, khususnya rakyat Melaka.

“Dengan upacara angkat sumpah ketua menteri sebentar tadi, secara rasminya Umno dan BN memungkiri satu manifesto penting ketika PRN 2021.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Melaka, saya tidak menyokong, terlibat, malah menentang perkara ini. Sebagai seorang Muslim, janji tetap janji dan ianya harus dilaksanakan,” katanya.

Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam di pejabatnya petang tadi.

Beliau menggantikan Sulaiman yang meletak jawatan semalam selepas berkhidmat buat kali kedua sebagai ketua menteri dari November 2021.

Rauf adalah pengerusi BN dan ketua Umno Melaka, beliau beberapa kali dikaitkan dengan jawatan ketua menteri selepas BN memenangi PRN pada November 2021.

Rabu lalu, Jailani dilaporkan berkata, Melaka akan mempunyai ketua menteri “pintu belakang”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.