
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya giat mengesan tujuh lagi suspek, selepas menahan tiga warga tempatan berusia 23 hingga 26 tahun sejurus kejadian pada 5.15 pagi Rabu lalu.
“Pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pada 6.31 pagi hari sama daripada dua lelaki yang bekerja sebagai pengusaha kedai makan.
“Laporan polis dibuat berkaitan sekumpulan lelaki warga tempatan bertindak memukul pengadu berusia 44 tahun dan rakan sekerjanya berumur 29 tahun menggunakan kayu besbol dan sebatang kayu.
“Pengadu mengalami luka calar di beberapa bahagian badan dan rakan sekerjanya sakit di bahagian perut serta kepala,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, tindakan pantas unit kereta peronda (MPV) IPD Johor Bahru Selatan (JBS) berjaya menahan tiga suspek di tempat kejadian, manakala tujuh lagi lelaki sempat melarikan diri dengan menaiki Proton Gen2 dan Toyota Vios.
Katanya, tiga suspek itu direman hingga 2 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi hotline IPD JBS 07-2182323 atau pegawai penyiasat Jacky Jaulis 014-6566820.
Satu klip video 2 minit 6 saat tular sejak semalam menunjukkan lebih 20 lelaki berbaju putih dan hitam bergaduh di tengah jalan.