
Ketua Polis Selangor Hussien Omar Khan berkata, pihaknya telah mendapat butiran pengirim dan dalam usaha mengesan individu itu yang dipercayai warga tempatan, untuk ditahan.
“Bungkusan itu selepas kita hantar ke makmal kimia dan hasil analisis mendapati tidak mengandungi sebarang jenis dadah dan ia adalah ubat gigi,” katanya pada sidang media di sini.
Media sebelum ini melaporkan polis sedang menyiasat penghantaran bungkusan yang disyaki mengandungi barang terlarang, dialamatkan kepada Anwar dan Rafizi.
Terdahulu, Hussein memaklumkan polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah susulan penahanan tujuh individu warga tempatan.
Tangkapan yang turut melibatkan seorang wanita itu dilakukan Selasa lepas di sekitar Selangor dan Tanjung Malim, Perak.
“Jumlah dadah yang dirampas bagi kedua-dua kes bernilai RM11.034 juta membabitkan dadah jenis metamfetamin dan heroin yang dipercayai untuk dipasarkan di Lembah Klang,” katanya.