Alasan UiTM larang sesi dialog tak masuk akal, kata Syed Saddiq

Alasan UiTM larang sesi dialog tak masuk akal, kata Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar itu berkata, sesi dialog bersama pelajar itu bertujuan berlangsung dengan aman.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berbincang dengan pihak keselamatan universiti selepas dihalang daripada memasuki UiTM Shah Alam untuk menghadiri satu program dialog.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan alasan UiTM tidak meluluskan sesi dialog dengan pelajar pada Khamis demi mengekalkan “keharmonian” tidak masuk akal.

Menurutnya, program bertajuk “Pelajar Praktikal Bukan Buruh Paksa” adalah sesi dialog aman antara pelajar dan ahli panel.

“Alasan yang diberikan pihak universiti tidak masuk akal. Sebagai Ahli Parlimen, saya mahu mendengar aduan mahasiswa secara aman.

“Sama seperti dialog yang saya adakan di universiti lain, tidak mungkin saya timbulkan kekacauan,” katanya di depan pintu masuk UiTM Shah Alam.

Syed Saddiq berkata, pihak universiti memberi komitmen menjadualkan semula program itu selepas bulan Ramadan dan akan menampilkan ahli panel lain.

Beliau juga kesal dengan pihak universiti kerana tidak memaklumkan syarat mengadakan program lebih awal.

Katanya, beliau tiada masalah mematuhi syarat ditetapkan, sekiranya dimaklumkan lebih awal.

“Sekiranya syarat itu dirunding lebih awal, kejadian malam ini mungkin tidak berlaku,” katanya.

Sesi dialog anjuran Ikatan Mahasiswa Demokratik Malaysia dijadual diadakan di Dataran Cendiakawan UiTM Shah Alam.

UiTM memberi amaran kepada pelajarnya tidak menyertai sesi dialog itu kerana tidak mendapat kelulusan universiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.