Kerajaan pakai ‘bumbung konkrit’, sebarang usaha ‘tebuk atap’ akan gagal, kata PM

Kerajaan pakai ‘bumbung konkrit’, sebarang usaha ‘tebuk atap’ akan gagal, kata PM

Kesemua pihak membentuk kerajaan perpaduan menjalin hubungan kerjasama baik, sekalipun wujudnya perbezaan pendapat, kata Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim dalam sesi dialog pada majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Anwar Ibrahim berkata, sebarang usaha “menebuk atap” bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan akan gagal memandangkan kerajaan kini mempunyai kekuatan setelah setahun mentadbir, hasil kerjasama baik semua pihak.

Setakat ini, kata perdana menteri, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan lain-lain pihak yang terbabit dalam kerajaan perpaduan menjalin hubungan kerjasama yang baik, sekalipun wujudnya perbezaan pendapat.

“Bumbung kita bumbung konkrit. Sekarang ini di Putrajaya tidak ada tebuk atap,” katanya ketika sesi dialog pada majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

“Dalam Jemaah Menteri, belum ada pertelagahan sekalipun atas perbezaan parti, pendapat … percubaan (penubuhan kerajaan perpaduan) nampaknya berhasil.”

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan seorang hadirin agar kerajaan ditubuhkan dengan satu organisasi politik sahaja, tanpa perlu bercampur, bagi mengelak berulangnya gerakan “tebuk atap” yang akan menumbangkan kerajaan.

Menegaskan kerajaannya kini ada kekuatan selepas setahun mentadbir, Anwar berkata, pihak yang terdesak mahu menumbangkan kerajaan hanya akan menemukan kegagalan.

“Percubaan tebuk atap ini, ada yang kata Julai, Ogos, September, Oktober …. saya fikir kita ada kekuatan (untuk menangkisnya).

“Percubaan pembangkang yang terdesak akan gagal,” katanya.

Sesi dialog itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Zahid berkata, kesemua 18 parti yang membentuk kerajaan perpaduan menyokong sepenuhnya Anwar terus meneraju kerajaan.

“Jika terdapat perbezaan pandangan sekalipun, pada peringkat akar umbi, bukan pendapat atau pendirian parti, tetapi individu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.