
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata langkah itu bagi memastikan penyedia platform, termasuk Telegram, WhatsApp dan Facebook faham serta jelas perbuatan itu dilarang dan jika sabit kesalahan, pengguna aplikasi boleh dikenakan tindakan.
“KKD akan adakan dialog dengan semua penyedia platform untuk menasihatkan dan mengingatkan mereka bahawa undang-undang di Malaysia terhadap unsur-unsur seperti ini tidak boleh ditoleransi…dan satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat.
“Sesiapa yang menghantar kandungan bersifat lucah, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kita mahu semua penyedia platform memahami isu ini kerana aduan sebegini (sebar kandungan berunsur lucah) paling kerap diterima,” katanya selepas menonton filem Anwar: The Untold Story di TGV AEON Mall Kulaijaya malam tadi.
Ahli Parlimen Kulai itu mengulas akaun Telegram membincangkan topik lucah kendalian seorang wanita.
Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung kewujudan akaun Telegram terbabit.
Berhubung dakwaan ada pihak mensabotaj filem Anwar: The Untold Story dengan mengurangkan slot tayangan, Teo berkata, KKD akan menjalankan siasatan lanjut sama ada tuduhan itu benar atau sebaliknya.
“Setakat ini, saya tidak dapat apa-apa maklum balas daripada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), kita akan siasat, namun saya percaya jika ramai penonton berminat dengan filem ini, semakin banyak panggung akan tayangkan filem ini.”
Ahad lalu, produksi filem itu dilaporkan mendakwa sesetengah pawagam melakukan sabotaj terhadap tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Semalam, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Mafe) yang dianggotai operator pawagam di seluruh negara menafikan dakwaan itu dengan berkata, pihaknya tidak pernah meminggirkan mana-mana naskhah tempatan, malah sentiasa memberi sokongan terhadap perkembangan industri perfileman negara.
Mengulas mengenai Anwar: The Untold Story, Teo berkata, filem itu boleh memberi inspirasi kepada golongan muda kerana mengisahkan perjuangan dan falsafah perdana menteri ke-10 yang tidak berputus asa sepanjang karier politiknya.