Saya tak sedih lepas jawatan, kata Sulaiman

Saya tak sedih lepas jawatan, kata Sulaiman

Adun Lendu itu berkata sebaliknya beliau sedih meninggalkan semua kakitangan di pejabatnya.

Tangkap layar video tular menunjukkan Sulaiman Md Ali beremosi ketika berucap kepada kakitangan di pejabatnya di Seri Negeri.
PETALING JAYA:
Sulaiman Md Ali berkata beliau tidak sedih melepaskan jawatan ketua menteri Melaka yang disandangnya sejak 2020.

Adun Lendu itu berkata, sebaliknya beliau sedih meninggalkan semua kakitangan di pejabatnya.

Dalam rakaman video, Sulaiman dilihat menitiskan air mata ketika memberi ucapan ringkas pada hari terakhir berada di pejabatnya hari ini.

“Saya tidak sedih untuk meninggalkan jawatan ini, saya tidak sedih untuk meninggalkan kerusi yang empuk di tingkat empat Seri Negeri ini, tetapi saya sedih untuk meninggalkan semua kakitangan saya,” katanya menurut Harian Metro.

Video Sulaiman yang beremosi pada majlis ringkas itu turut tular di media sosial.

Katanya, beliau tidak mampu lagi mendapat staf yang baik, cemerlang dalam perkhidmatan dan sentiasa jujur serta amanah ketika menjalankan tugas.

“Sudah pasti jasa serta budi baik semua akan saya kenang selagi hayat dikandung badan. Saya sangat berterima kasih kepada semua kakitangan pejabat ini yang banyak membantu saya,” katanya

Beliau turut meminta semua kakitangan pejabatnya di Seri Negeri memberikan perkhidmatan terbaik kepada penggantinya kelak.

Sulaiman, 58, mengangkat sumpah jawatan kali pertama sebagai ketua menteri pada Mac 2020 selepas Barisan Nasional (BN) bersama rakan sekutu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau kemudian dilantik semula sebagai ketua menteri selepas BN menang besar dalam PRN Melaka pada 20 Nov 2021.

Kelmarin, beliau mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri ke-12 atas faktor kesihatan.

Terdahulu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau mencadangkan Adun Tanjung Bidara Ab Rauf Yusoh sebagai calon ketua menteri Melaka yang baharu.

Rauf dijadual mengangkat sumpah sebagai ketua menteri esok di hadapan Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.