Polis buru lelaki pukul, bakar anjing

Polis buru lelaki pukul, bakar anjing

Lelaki itu diburu selepas rakaman video tular menunjukkan dia memukul dan membakar seekor anjing liar.

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan suspek memukul dan membakar seekor anjing liar di Taman Impian Emas, Skudai, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Polis memburu seorang lelaki yang bertindak kejam mendera anjing liar, termasuk memukul dan membakar seekor haiwan itu hidup-hidup.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Fariz Ammar Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas ia tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah klinik haiwan di sekitar Taman Impian Emas, Skudai.

“Kita terima laporan berhubung kejadian itu pada 2.59 petang, Isnin lalu daripada orang awam.

“Pengadu memaklumkan kejadian seekor anjing dipukul dan dibakar hidup-hidup seorang lelaki dipercayai warga tempatan, di mana video kejadian itu turut tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat Jabatan Veterinar Johor bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM25,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lelaki mendera anjing liar dalam tiga kejadian berasingan, termasuk membakar seekor haiwan itu dalam kejadian terbaru dua hari lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemuda itu membaling pasu ke arah anjing yang mendiami ruang tangga, bersebelahan sebuah klinik veterinar di Johor Bahru pada 8 Mac lalu.

Pada 14 Mac lalu, dia kembali ke tempat sama dan membaling batu serta bata ke arah dua ekor anjing liar itu.

Pada 27 Mac lalu, lelaki berkenaan dilihat memukul seekor anjing liar dengan batang besi sebelum meninggalkan tempat itu dengan kereta, tetapi kembali semula untuk membakar seekor daripadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.