Mahkamah tetap 19 April keputusan kes rasuah bekas pegawai KBS

Mahkamah tetap 19 April keputusan kes rasuah bekas pegawai KBS

Bekas setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Otman Arshad menghadapi 96 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit.

Otman Arshad didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi pembayaran RM36.3 juta kepada syarikat dikaitkan dengannya. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menetapkan 19 April untuk menyampaikan keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan.

Otman Arsahd dibicarakan atas 32 pertuduhan berkaitan rasuah dan 64 pertuduhan pengubahan wang haram.

Daripada 32 pertuduhan rasuah, 17 adalah berhubung mengemukakan tuntutan palsu, manakala selebihnya berkaitan dakwaan salah guna kuasa.

Otman didakwa mengemukakan tuntutan palsu kepada pengarah bahagian kewangan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembayaran RM36.3 juta kepada syarikat dikaitkan dengannya.

Beliau juga dituduh menggunakan kedudukannya sebagai setiausaha di bahagian kewangan kementerian untuk mengarahkan ketua pengarah MSN membayar sejumlah RM2.16 juta kepada syarikat dikaitkan dengan anak-anaknya, kerana menganjurkan pelbagai program kementerian.

Peguam Rafique Rashid Ali berkata tarikh keputusan itu ditetapkan selepas pihak pembelaan memberitahu Hakim Kamarudin Kamsun mereka mahu memfailkan hujahan lanjut untuk menjawab pihak pendakwaan.

Pihak pembelaan mendakwa Otman tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan MSN membuat pembayaran kepada syarikat terbabit.

Mengenai pertuduhan tuntutan palsu, peguam itu berkata bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan gagal menunjukkan Otman mempunyai niat untuk mengemukakan tuntutan palsu.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memberitahu mahkamah, pembelaan adalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes mereka.

Seramai 70 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan manakala Otman adalah saksi pembelaan tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.