Mogok bukan penyelesaian, Hisham beritahu doktor

Mogok bukan penyelesaian, Hisham beritahu doktor

Ketua pengarah kesihatan berkata penganjuran mogok boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ia dianjurkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mogok terutama secara tidak terancang, bukan jalan penyelesaian terbaik terhadap apa jua permasalahan.
PETALING JAYA:
Tindakan menganjurkan mogok bukan penyelesaian terbaik dalam apa jua permasalahan yang timbul melibatkan pegawai perubatan atau skim profesional lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, perkhidmatan kesihatan perlu dianggap sebagai sektor kritikal dan begitu juga bagi petugas kesihatan.

“Penganjuran mogok boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ia dianjurkan. Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal, terutama ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.

“Maka saya berpandangan mogok terutama secara tidak terancang, mungkin bukan satu jalan penyelesaian yang terbaik terhadap apa jua permasalahan timbul,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Muhammad Yassin, menyatakan kesediaan pihaknya mengadakan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan tidak memberikan apa-apa jawapan dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan.

Beliau berkata, gerakan itu memberi tempoh tiga bulan kepada kementerian sebelum mogok dirancang untuk dilakukan secara besar-besaran.

Pada 26 Julai 2021, sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital utama melaksanakan “walk-out” sebagai sebahagian daripada Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah sama seperti doktor berjawatan tetap.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada 14 Feb lalu menggesa kerajaan mengambil serius sentimen pekerja kesihatan yang dikatakan mahu mengadakan mogok berikutan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan.

Presiden Dr Muruga Raj Rajathurai berkata biarpun tidak bersetuju dengan tindakan mogok itu, pihaknya memahami kekecewaan petugas berkenaan yang mahu suara mereka didengari.

Sementara itu, Hisham berkata, kerajaan sentiasa memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

Katanya, ini termasuk mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara “time-based”, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred untuk pakar perubatan dan sebagainya.

“Dalam Belanjawan 2023, kita dapat lihat perkhidmatan penjagaan kesihatan terus diutamakan oleh kerajaan. Semoga perkhidmatan kesihatan terus diperkukuhkan lagi dalam tahun mendatang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.