Kerajaan lanjut pelepasan cukai SSPN hingga 2024

Kerajaan lanjut pelepasan cukai SSPN hingga 2024

Perdana menteri berkata keputusan itu mengambil kira keresahan dan teguran kepada kerajaan.

SSPN diperkenalkan oleh PTPTN pada 2004 bertujuan untuk mengurangkan hutang pelajar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri mengumumkan pelanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) hingga 2024.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keresahan dan teguran kepada kerajaan.

“Setelah mendengar keresahan disuarakan dan teguran kepada kerajaan (selepas pengumuman semalam), maka saya bersetuju untuk melanjutkan pelepasan cukai SSPN ini. Cadangan ini melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun, namun memberi manfaat kepada sekitar 400,000 pembayar cukai,” katanya menurut Bernama.

Semalam, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim berkata bermula tahun ini, pembayar cukai mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Dalam pada itu, beberapa inisiatif tambahan Belanjawan 2023 turut diumumkan seperti bantuan Aidilfitri dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

“Memandangkan keadaan hidup rakyat ini masih terasa…saya teliti mana kohort yang tidak peroleh manfaat sebelum ini, masih ada masalah terutama pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

“Maka saya bersetuju salurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 lagi, tambahan (kepada) apa yang telah diumumkan. Hal ini akan menelan belanja RM170 juta ,” katanya.

Anwar berkata penambahan itu adalah bantuan terbesar pernah diberikan kerajaan kepada golongan nelayan, pesawah dan pekebun kecil

Dalam Belanjawan 2023 sebelum ini, kerajaan mengumumkan bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada nelayan dan RM200 sebulan untuk pesawah padi untuk tempoh tiga bulan semusim serta menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan kepada pekebun kecil getah.

Selain itu, pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam, sukarelawan polis dan bomba turut menerima “duit raya” apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

“Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan. Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” katanya.

Anwar turut mengumumkan mulai 1 April tahun ini, kerajaan akan memperluaskan sasaran SJKP terhadap golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.

Dalam Belanjawan 2023 dibentangkan 24 Feb lalu, SJKP ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutama mereka yang tidak berpendapatan tetap.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada pengisian jawatan perkhidmatan awam dalam sektor kritikal khususnya bidang kesihatan serta pendidikan dan hal ini dijangka melibatkan perbelanjaan tambahan sehingga RM800 juta untuk tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.