
Menurut Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, terdapat jurang besar dalam perundangan sedia ada berhubung pemasaran dan penjualan produk yang mengandungi nikotin, terutama vape dan rokok elektronik.
“Langkah mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan kawalan berjadual, tanpa peraturan alternatif atau penggantian, akan mematikan segala kemungkinan untuk sekalipun cuba mengawal kandungan nikotin dalam produk-produk ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Mohd Khalib.
Berbanding negara lain di mana produk vape dikawal dan dikenakan cukai, Azrul berkata, kandungan nikotin produk vape di Malaysia adalah yang tertinggi.
“Di UK, Eropah, Amerika Syarikat dan Indonesia, kepekatan maksimum dibenarkan hanya 20mg, atau 2%,” katanya dalam kenyataan.
“Bagaimanapun, di Malaysia, cecair dalam satu peranti vape pakai buang boleh didapati dalam kepekatan 3% hingga 5%. Vape pakai buang dengan 5% nikotin mudah didapati di negara ini pada harga RM10 hingga RM20.”
Oleh itu, katanya, mengeluarkan nikotin cecair atau gel daripada Akta Racun akan memburukkan lagi masalah ketagihan nikotin di Malaysia.
“Penghisap vape akan mendapati walaupun mereka mungkin telah berhenti menghisap rokok, ketagihan mereka beralih kepada vape dan rokok elektronik,” katanya.
“Ada yang akan menghisap kedua-duanya, tembakau dan rokok elektronik. Klinik ‘Berhenti Merokok’ sudah lihat mereka yang datang (ke klinik) terdiri daripada perokok yang juga menghisap vape.”
Semalam, ahli farmasi dan doktor menzahirkan kebimbangan berhubung cadangan menggugurkan nikotin daripada Akta Racun 1952.
Persatuan Ahli Farmasi Malaysia berkata, langkah itu akan menghantar “mesej yang salah kepada orang ramai”, manakala Persatuan Perubatan Malaysia bimbang pengecualian itu akan menyaksikan kanak-kanak menjadi ketagih dengan bahan tersebut.
Bulan lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, ia menyasarkan untuk membentangkan semula RUU GEG dalam “masa terdekat” supaya penguatkuasaan boleh dimulakan tahun depan.