Banduan didakwa bunuh rakan sel kerana roti

Banduan didakwa bunuh rakan sel kerana roti

Warga Indonesia, Paidi Atmok Sukar yang mengalami pendarahan dalam kepala dan kecederaan lain, meninggal dunia di hospital seminggu selepas menerima rawatan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada Fahrur Radzi Chahat yang didakwa membunuh rakan selnya di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 17 Feb lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang banduan warga Indonesia bulan lalu yang dikatakan akibat roti.

Berita Harian melaporkan Fahrur Radzi Chahat, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Mazana Sinin. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan bunuh yang menyebabkan kematian Paidi Atmok Sukar, 47, di bilik No 48, Tingkat 1, Zon A, Blok Cekal, Kompleks Penjara Sungai Udang pada 2.15 petang 17 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon untuk mendapatkan laporan bedah siasat.

Banusha tidak mencadangkan jaminan untuk tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pada 24 Feb lalu, Berita Harian melaporkan seorang warga Indonesia maut dipukul rakan selnya dalam pergaduhan di Kompleks Penjara Sungai Udang pada 17 Feb lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka kira-kira 6.28 petang selepas tujuh hari menerima rawatan.

Ia didakwa berpunca daripada suspek mengesyaki mangsa mengambil rotinya, sebelum memukulnya kerana tidak berpuas hati mangsa meninggikan suara dan menafikan hal itu.

Doktor yang merawat mangsa mengesahkan dia mengalami pendarahan dalam kepala, benjol di bahagian kiri kepala, luka mata dan telinga kiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.