Ahli Parlimen PAS diarah keluar Dewan, digantung 3 hari

Ahli Parlimen PAS diarah keluar Dewan, digantung 3 hari

Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) diarahkan untuk duduk sebanyak tiga kali oleh timbalan speaker, namun beliau enggan.

Ahli Parlimen Besut Che Zulkifly Jusoh enggan duduk walaupun berulang kali diarahkan berbuat demikian di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen PAS diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung selama tiga hari mulai hari ini.

Timbalan Speaker Ramli Nor, tiga kali mengarahkan Che Zulkifly Jusoh (PN-Besut) duduk, tetapi Ahli Parlimen pembangkang itu mengingkari arahan.

Sebelum itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua rang undang-undang (RUU) mempunyai tajuk bahasa Inggeris, yang mana Zulkifly turut mencelah.

Selepas membenarkan Ahli Parlimen bercakap, Ramli kemudian mengarahkan semua orang duduk supaya beliau boleh menyampaikan keputusan mengenai perkara itu, namun, Zulkifly enggan.

“Saya telah buat keputusan. Saya beri tiga amaran,” kata Ramli.

Beliau kemudian mengarahkan Bentara Dewan Rakyat mengiringi Zulkifly keluar Dewan, dan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) membalas “selamat bercuti”.

Selepas Zulkifly diarahkan keluar, Ramli meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh yang membawa RUU untuk dibentangkan, memberikan penjelasan.

Ramkarpal berkata, memandangkan RUU itu berkenaan pindaan Kanun Keseksaan, yang dalam bahasa Inggeris, kementeriannya  menyediakannya dalam bahasa sama.

Beliau berkata, ini juga untuk menghormati Kanun Keseksaan kerana ia adalah “teks berwibawa” di negara ini.

Ramkarpal juga menyatakan pendahulunya, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sebelum ini  membentangkan RUU dengan draf disediakan dalam bahasa Inggeris.

Ramli kemudian berkata isu itu adalah “anomali” dan menggesa Ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul bertulis kepada speaker sebelum keputusan boleh dibuat mengenai cara terbaik untuk bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, blok kerajaan juga perlu membincangkan isu itu secara dalaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.