
Tanpa memberikan butiran lanjut tentang siapa yang disiasat, Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada pihak yang disiasat itu akan didakwa atau tidak.
“Saya tak tahu (secara) khusus tetapi yang saya dimaklumkan, memang ada siasatan melibatkan pembangkang dan blok kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.
“Saya tak tahu jawatannya … Pihak penguatkuasaan maklumkan memang ada siasatan. Sama ada pendakwaan dibuat atau tidak, terserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Jabatan Peguam Negara.”
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) sama ada siasatan turut dijalankan terhadap Ahli Parlimen kerajaan, selain pembangkang.
Siti Zailah juga bertanya, sama ada terdapat siasatan terhadap mana-mana parti kerajaan yang menerima dana politik, supaya tidak wujud pertikaian berhubung pendakwaan terpilih.
Anwar berkata, beliau terbuka jika pihak berkuasa mahu melakukan siasatan terhadap PKR berhubung dana politik.
“Kalau ada cadangan, permasalahan dan kekhuatiran ada unsur rasuah dalam derma kepada PKR, perkara itu boleh dibangkitkan … tak ada masalah,” katanya, sambil menjelaskan, undang-undang pada masa ini membolehkan parti politik menerima derma.
Tambahnya, apa yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini adalah wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak.
“Orang yang memperoleh kontrak itu, sama ada dikehendaki memberikan dana kepada syarikat atau individu atau parti dikaitkan (dengan) individu berkenaan,” katanya.