
Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani, berkata masalah menjadi rumit kerana DNB ditubuhkan sebelum ia dipertimbangkan secukup-cukupnya.
“Orang telah diambil bekerja, dan kerajaan memperuntukkan sejumlah wang, serta komited terhadap pembekalan teknologi…semua perkara ini tidak mudah dirungkai,” katanya menurut laporan TwentyTwo13.
Johari berharap pemerintah mengambil iktibar daripada “kesilapan” itu, yang berlaku kerana kerajaan gagal mempertimbangkan secukup-cukupnya akibat “mencipta situasi monopoli” seperti dalam kes DNB.
Katanya, kerajaan harus memikirkan bagaimana hendak melakukan rombakan jika ia memutuskan seluruh persediaan 5G itu diambil alih oleh TM atau konsortium lain.
“Ia bukan situasi yang mudah. Terdapat banyak implikasi,” katanya. “Bagaimana anda nak merungkai hal ini apabila ada komitmen dengan pihak lain? Isu ini besar sekali,” katanya.
Sebelum ini dalam temubual FMT, Johari ketika mengulas pelancaran 5G menegur kecenderungan pemerintah untuk terlibat dalam perniagaan, dan berkata langkah paling wajar adalah kerajaan berurusan dengan syarikat telekomunikasi secara langsung berbanding menubuhkan DNB.
DNB entiti kegunaan khas 100% milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MKD. Ia diberi tanggungjawab membina dan mengurus rangkaian 5G serta menjadi penyedia borong tunggal perkhidmatan 5G. Teknologi itu sepatutnya dilancarkan pada hujung 2021 namun pelancarannya dilanda kelewatan.
Menurut Johari, kerajaan menubuhkan DNB untuk berurusan dengan syarikat telekomunikasi tetapi mereka tiada keyakinan terhadap entiti MKD itu – antara sebab mengapa kemajuan pelancaran 5G ketika ini hanya sekitar 40%, kerana pelaksanaannya tidak mendapat sokongan penuh pemain industri.
Sekiranya pelaksanaan itu tidak berjaya, kerajaan yang membelanjakan kira-kira RM16.5 bilion untuk prasarana 5G bagi 80% liputan tidak akan dapat semula pelaburannya.
Johari memberitahu TwentyTwo13 bahawa kerajaan sudah mempunyai TM, maka tidak perlu membazir masa dan usaha yang hanya akan menanggung overhed yang tidak perlu dan komitmen tertentu.
“TM syarikat tersenarai. Ia tertakluk kepada penelitian yang sewajarnya, oleh orang ramai dan pelabur. Itulah sebab mengapa saya tidak berminat dengan bentuk DNB pada masa ini,” katanya.