12 lagi mangsa tipu kerja di Kemboja diselamatkan, kata PM

12 lagi mangsa tipu kerja di Kemboja diselamatkan, kata PM

Perdana menteri berkata Kedutaan Malaysia di Kemboja akan menguruskan pembebasan kesemua 12 individu berkenaan esok.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen ketika lawatan rasmi sehari ke negara itu. (Gambar Bernama)
PHNOM PENH:
Seramai 12 lagi warga Malaysia yang terperangkap dan menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya dibebaskan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pihak Kedutaan Malaysia di sini akan menguruskan pembebasan kesemua 12 individu berkenaan esok.

“Ini maklumat terbaharu yang diterima, selain daripada yang diumumkan sebelum ini, berita terbaharu ada 12 lagi berjaya dibebaskan,” katanya pada sidang media di akhir lawatan rasmi sehari ke Kemboja.

Pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen petang tadi, Anwar berkata setakat ini 287 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket berkenaan berjaya dibawa pulang ke tanah air.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim memberitahu Bernama berdasarkan maklumat yang diterima, kesemua 12 individu itu berada dalam senarai nama yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata pihaknya akan ke lokasi mangsa esok untuk urusan membawa pulang semua mereka.

“Sekiranya keluarga melengkapkan semua dokumen termasuk tiket penerbangan balik, mungkin semua mangsa dapat pulang ke tanah air pada hari Sabtu atau Ahad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.