Menteri kesihatan tahu masalah kewangan Pharmaniaga

Menteri kesihatan tahu masalah kewangan Pharmaniaga

Dr Zaliha Mustafa berkata Pharmaniaga Bhd cuba sedaya upaya menangani keadaan kewangannya.

Dr Zaliha Mustafa berkata Pharmaniaga Bhd bukan bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, oleh itu ia memerlukan perbincangan lanjut untuk menyelesaikan isu itu.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata beliau tahu keadaan kewangan Pharmaniaga Bhd.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berhubung dengan syarikat farmaseutikal itu, yang merupakan pemegang konsesi bagi ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital serta klinik kerajaan.

“Kami dengar Pharmaniaga sedang menangani isu itu dan mereka cuba sedaya upaya menyelesaikannya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Pharmaniaga bukan bawah bidang kuasa KKM, oleh itu ia memerlukan perbincangan lanjut untuk menyelesaikan isu itu.

Kelmarin, persatuan utama mewakili syarikat farmaseutikal di Malaysia bimbang dengan masalah kewangan dihadapi Pharmaniaga yang boleh menjejaskan akses pesakit kepada ubat, jika tidak diselesaikan segera.

Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA), Chan Li Jin dilaporkan berkata, Nota Amalan (PN17) Pharmaniaga, klasifikasi untuk syarikat mengalami masalah kewangan, menyebabkan “ketidakpastian dan kebimbangan” dalam kalangan pembekal ubat.

Pharmaniaga bertanggungjawab mendapatkan bekalan lebih satu pertiga atau lebih 700 ubat berjenama dan generik kerajaan, selain logistik serta pengedarannya.

Chan berkata, keadaan kewangan Pharmaniaga menimbulkan rasa kurang senang terhadap keupayaan Pharmaniaga membayar firma farmaseutikal untuk bekalan ubat, walaupun mendapat jaminan syarikat itu.

Pada 27 Feb lalu, Pharmaniaga mengumumkan ia diletakkan bawah klasifikasi PN17 selepas mencatatkan kerugian bersih terbesar RM664.39 juta dalam suku keempat berakhir 31 Dis 2022.

Kumpulan farmaseutikal itu berkata, ia turut memperuntukkan RM552.3 juta bagi “pergerakan stok vaksin Covid-19 yang perlahan” sehingga mendorong ia dikategorikan PN17.

Pengumuman itu menyaksikan sahamnya menjunam 50% daripada 44 sen kepada 22 sen seunit. Setakat 2 petang Jumaat lalu, harga saham Pharmaniaga kekal pada 30 sen.

Pharmaniaga memberi jaminan ia komited menyusun pelan regularisasi bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya dan memastikan daya maju perniagaan terasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.