Lelaki bawa 560kg ketum diberkas

Lelaki bawa 560kg ketum diberkas

Penganggur itu diberkas dalam Op Tapis di Kampung Pasir Dusun, Jeli Khamis lepas.

Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman empat hari bermula Khamis, menurut Ketua Polis Jeli Saari Yaacob.
JELI:
Polis menahan seorang lelaki dan merampas 560 kilogram (kg) daun ketum, selepas mengejar sebuah kereta sejauh kira-kira 15 kilometer, di tepi jalan Kampung Pasir Dusun, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Jeli, Saari Yaacob, berkata penganggur berumur 25 tahun itu ditahan 10.30 pagi selepas anggota polis mengesan lelaki berkenaan yang dilihat mencurigakan, semasa membuat rondaan Op Tapis.

Beliau berkata anggota polis itu kemudiannya memperkenalkan diri dan mengarahkan suspek berhenti di bahu jalan, namun dia terus memecut laju kenderaannya.

Katanya, selepas ditahan, pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta itu membawa kepada penemuan 56 bungkusan plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum seberat 560kg yang bernilai kira-kira RM5,680, serta 1,000 milliliter (ml) air ketum dan 100ml ubat batuk.

Saari berkata suspek yang memiliki dua rekod lampau termasuk satu berkaitan daun ketum, didapati mengambil upah membawa bahan terlarang itu yang diperoleh dari Sik, Kedah, untuk dipasarkan di Tanah Merah.

“Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman empat hari bermula Khamis,” katanya pada sidang media di IPD Jeli, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.