
Kakak wanita itu, Hamiah Osman, 70, berkata adiknya tidak pernah memukul anak-anaknya, selain sangat jarang memarahi mereka.
“Adik saya tidak pernah pukul anak dan jarang sekali dia memarahi mereka cuma adakalanya dia terpaksa meninggikan suaranya kerana anak-anak agak nakal dan terpaksa ditegur.
“Anak-anaknya sukar dikawal tingkah laku sehinggakan mereka sering ditemui berkeliaran di sekitar kampung ini,” katanya menurut Berita Harian.
Hamiah yang menetap bersebelahan rumah adiknya itu, berkata adiknya yang bekerja sebagai ‘cleaner’ (pekerja pembersihan) di sebuah institusi pendidikan di Kangar “terpaksa merantai” semua anaknya bagi mengelak mereka merayau.
Katanya, adiknya bukan tidak mahu menghantar dua anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dan pendengaran ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi disebabkan khuatir anaknya dibuli.
Suami Hamiah, Bahari Man, 74, pula menggambarkan anak saudaranya sebagai nakal sehingga menjadikan rumah didiami mereka tunggang langgang.
“Lihat sahaja pada besi jeriji tingkap rumah berkenaan yang patah selain jendela yang rosak tanpa tingkap,” katanya.
Katanya, mereka juga bimbang terhadap keselamatan apabila anak-anak itu merayau memandangkan kawasan persekitaran kampung terdapat sungai, selain khuatir mereka mengalami kemalangan.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan berlaku pada remaja berkenaan.