Abdul Razak ‘hero’ pujuk pengganas Al-Maunah menyerah

Abdul Razak ‘hero’ pujuk pengganas Al-Maunah menyerah

Komando bersara VAT69 Abdul Razak Yusoff mengimbau semula detik berunding dengan pemimpin kumpulan pengganas bersenjata yang menceroboh kem tentera, 23 tahun lalu.

Al-Maunah menceroboh kem tentera Gerik, Perak, pada 2000 dan merampas ratusan senjata dan peluru untuk melakukan rampasan kuasa ganas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Di bawah terik mentari 23 tahun lalu, kemahiran Abdul Razak Yusoff teruji apabila berunding dengan ketua kumpulan pengganas bersenjata yang mengambil tebusan dari kem tentera di Perak.

Razak, yang juga anggota unit polis elit VAT69, duduk bersama pemimpin Al-Maunah, Amin Razali, di tempat persembunyian kumpulan itu di Bukit Jenalik, berdekatan Kuala Kangsar.

Misinya hanya satu: berunding untuk kumpulan itu menyerah diri secara aman.

Anggota kumpulan itu menyelinap masuk dalam kem tentera Gerik, Perak, pada 2 Jul 2000. Mereka merampas ratusan senjata dan peluru bertujuan untuk melakukan rampasan kuasa secara ganas, selain menculik beberapa orang tebusan.

Abdul Razak Yusoff (di hadapan) berkhidmat bersama VAT69 selama 20 tahun. (Gambar Abdul Razak Yusoff)

Justeru, nasib tebusan itu berada dalam tangan Razak.

“Sepanjang rundingan, Amin enggan bertentang mata dengan saya dan banyak kali mendakwa dirinya lebih alim berkaitan hal ehwal agama,” kata Razak kepada FMT.

“Perbincangan kami berlangsung panjang,” katanya dalam pertemuan yang berlaku dua jam setengah dengan pemimpin pengganas itu. “Kami berdebat mengenai pemahaman radikal Islamnya, kerajaan, dan misinya yang meletakkan banyak nyawa menjadi taruhan.”

Sebagai perunding bertauliah, Razak kekal tenang dalam pertemuannya. Beliau sudah bersedia berdepan situasi terburuk, namun yakin menang dalam perang saraf.

“Semuanya dalam kawalan walaupun ada ketikanya situasi menjadi panas.”

Razak lega apabila Amin bersetuju menyerah diri. Bagaimanapun, penyerahan dirinya tidak berakhir tanpa insiden.

Razak berkata, Amin terlibat dalam pergelutan dengan komander medan, Zaini Said, sebelum anggota – yang berkumpul di luar persembunyian Al-Maunah selama empat hari – melakukan serbuan ke kubu mereka.

Amin dan dua orang kanannya kemudian dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabit bersalah kerana khianat. Mereka digantung pada 2006. Enam daripada mereka dipenjara 10 tahun bagi tuduhan lebih ringan, manakala bakinya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dua tebusan dibunuh – detektif polis, R Sanghadevan, dan komando tentera, Mathew Medan.

Abdul Razak Yusoff (dua dari kiri) bersama kumpulan payung terjun. (Gambar Abdul Razak Yusoff)

Keberanian Razak serta kejayaan melumpuhkan kumpulan pengganas disanjung selepas menerima pingat keberanian tertinggi negara – Seri Pahlawan Gagah Perkasa, pada 2000.

Razak bagaimanapun menolak sanjungan dan menggambarkan dirinya hanya kebetulan berada pada waktu dan tempat yang sama. “Ada orang lain, dulu dan sekarang, yang melakukan pengorbanan lebih besar daripada saya. Sumbangan saya kecil dibandingkan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada beliau takut kehilangan nyawa dalam proses rundingan itu, Razak berkata, perkara berkenaan tidak pernah terlintas di benaknya. “Saya sentiasa bersedia untuk berkorban demi negara.”

Razak bersara daripada pasukan polis bulan lalu, menyebabkan tidak ada lagi penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang masih berkhidmat.

Sempena sambutan Hari Polis ke-216, Razak mengingatkan anggota dan pegawai sentiasa ikhlas berkhidmat. Anggota dan pegawai polis mesti meletakkan “jiwa dan raga dalam menjalankan amanah” atau berdepan risiko terjerumus dalam sikap tamak dan penyelewengan, katanya.

“Anda juga tidak akan menemui kebahagiaan sekiranya sentiasa mengejar kuasa, wang, dan kebendaan kerana anda tidak pernah puas dengan semua itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.