
Syed Iskandar Syed Jaafar, berkata adalah “sangat mengarut” apabila anggota badan kehakiman – cabang utama dalam kerajaan berperlembagaan – menjadi mangsa struktur gaji yang tidak berubah.
Katanya, mengikut Akta Saraan Hakim 1971, hakim Mahkamah Persekutuan menerima gaji asas RM28,500, hakim Mahkamah Rayuan menerima RM27,500, dan hakim Mahkamah Tinggi menerima RM26,500. Pesuruhjaya Kehakiman mendapat RM25,500.
Gaji asas Ketua Hakim Negara adalah RM36,000, presiden Mahkamah Rayuan, RM31,500, dan Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak, RM30,000.
Bagaimanapun, anggota badan kehakiman tidak menerima kenaikan gaji tahunan, tidak seperti penjawat awam dan mereka yang bekerja dalam sektor swasta.
Syed Iskandar berkata: “Skim gaji sedia ada tidak mengambil kira senioriti dan pengalaman. Hakim Mahkamah Tinggi yang baharu dilantik akan menerima gaji asas sama seperti hakim seniornya.”
Katanya, hakim di Singapura diberikan ganjaran lebih baik dan juga menerima bonus prestasi.
Ketika ini, semua gaji dan faedah lain dibayar kepada anggota badan kehakiman datangnya dari Kumpulan Wang Disatukan, yang diperoleh hasil pendapatan kerajaan dari semua sumber.
Cabang kehakiman mempunyai 11 hakim Mahkamah Persekutuan, 27 hakim Mahkamah Rayuan, 88 hakim Mahkamah Tinggi, dan 36 pesuruhjaya kehakiman.
Seorang lagi peguam, A Srimurugan, berkata skim semasa menghalang ahli perundangan terbaik dalam Majlis Peguam menyertai badan kehakiman.
“Kadar gaji sedia ada dibayar kepada hakim di tiga peringkat mahkamah tidak menarik bagi peguam terbaik, yang menerima pendapatan berkali ganda dalam amalan guaman,” katanya.
Srimurugan berkata, hakim Malaysia dibayar lebih rendah berbanding di Indonesia.
“Jika kerajaan berdepan kekangan kewangan dengan tidak mampu meningkatkan gaji hakim, sekurang-kurangnya kerajaan mengecualikan hakim daripada membayar cukai,” katanya.
Minggu lalu, Majlis Peguam menerima usul penubuhan suruhanjaya imbuhan bebas bagi melaksanakan semakan berkala gaji dan faedah lain untuk anggota badan kehakiman.