Tak boleh tergesa-gesa laksana pembayaran terbuka semua lebuh raya, kata menteri

Tak boleh tergesa-gesa laksana pembayaran terbuka semua lebuh raya, kata menteri

Menteri kerja raya berkata ia bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan tidak boleh tergesa-gesa melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka tanpa kajian dan pembangunan perancangan terlebih dahulu.
KUALA LUMPUR:
Keputusan kerajaan memulakan sistem pembayaran tol terbuka dengan hanya melibatkan lima lebuh raya di seluruh negara terlebih dahulu bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata walaupun beberapa lagi syarikat konsesi menunjukkan minat dan menyatakan kesediaan untuk turut serta dalam sistem pembayaran, namun usaha itu tidak boleh dilaksanakan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan pembangunan perancangan terlebih dahulu.

“Yang penting, sistem dicadangkan itu diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari yang akan menyusahkan pengguna,” katanya di Facebook.

Baru-baru ini, Nanta mengumumkan akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit selewat-lewatnya September ini.

Lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Nanta berkata usaha melaksanakan sistem bayaran tol terbuka itu dilakukan pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) sejak 2022 lagi.

Katanya, ia mengambil masa agak lama kerana hal berkenaan bukan perkara mudah selain perlu melalui banyak proses.

Ia termasuk dari aspek teknikal, perundangan dan kewangan yang perlu diperhalusi dan diperjelaskan oleh semua pihak terlibat sebelum keputusan memulakan sistem pembayaran terbuka ini di lima lebuh raya pertama dapat dicapai.

Sementara itu, mengulas persoalan tentang pihak manakah bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan memastikan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu dilaksanakan, Nanta berkata, semua punca kuasa pelaksanaan sistem pembayaran tol dan semua berkaitan tertakluk bawah bidang kuasa KKR.

“Sehubungan itu saya memohon semua pihak menunggu pengumuman KKR berkenaan senarai jajaran dan lebuh raya bersedia melaksanakan sistem ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan masalah dalam kalangan pengguna di kemudian hari.

“Ia akan ditentukan selepas semua proses libat urus, teknikal, perundangan dan kewangan telah dipersetujui oleh semua pihak terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.