
Ahli Dewan Negara Bobbey A Suan berkata usaha meningkatkan infrastruktur dan fasiliti awam itu juga penting supaya Sabah dapat mengorak langkah bagi meraih limpahan ekonomi yang besar daripada Nusantara.
“Rakyat Sabah mengharapkan agar infrastruktur dan fasiliti awam di negeri ini setanding dengan negara jiran itu, diharap pihak kerajaan menyediakan peruntukan kewangan untuk infrastruktur dan fasiliti awam yang berkualiti,” katanya menerusi kenyataan.
Pada 9 Jan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi ke Indonesia dilaporkan berkata Malaysia akan mencari jalan terbaik untuk memastikan pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara dapat memberi manfaat kepada wilayah ekonomi di Sabah dan Sarawak.
Bobbey juga mencadangkan kerajaan persekutuan menubuhkan sebuah Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah bagi mengatasi isu pendatang asing tanpa izin yang menimbulkan pelbagai masalah sosial.
“Dengan adanya Pejabat Konsulat Jeneral Filipina di Sabah, isu-isu berkaitan pendatang asing tanpa izin, pelarian dan pemohon suaka dapat ditangani dengan tegas oleh pihak kerajaan demi memastikan negara terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan,” katanya.
Mengenai isu kemiskinan di Sabah, beliau berharap kerajaan persekutuan dapat menggariskan matlamat dan strategi khusus bagi membebaskan Sabah daripada wilayah paling perlahan pertumbuhan ekonomi serta memiliki paras kemiskinan tertinggi di Malaysia.
“Kerajaan persekutuan harus menggariskan pendekatan mikro secara bersinkronisasi dengan kerajaan negeri melalui pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan teknologi. Ini termasuklah keusahawanan supaya usaha membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Kini saya hanya mengharapkan, menunggu dan melihat apa pendekatan dan cara pihak kerajaan sekarang untuk membangunkan lapan buah daerah termundur di Sabah dalam masa dua tahun ini,” katanya.