RM37 juta barang seludup dirampas, 119 ditahan tahun ini

RM37 juta barang seludup dirampas, 119 ditahan tahun ini

Ia hasil 45 serbuan melalui Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas melibatkan Op Kontraban dan Op Tiris.

Menerusi Op Kontraban, polis merampas rokok dan minuman keras dalam tin serta botol bernilai RM19 juta sejak Januari lalu. (Gambar Facebook PDRM)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 119 individu dan merampas barangan bernilai RM37 juta dalam serbuan membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga Selasa lepas.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata ia hasil 45 serbuan dibuat polis melalui Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas melibatkan Op Kontraban dan Op Tiris.

Beliau berkata, menerusi Op Kontraban, pihaknya menahan 43 individu serta merampas rokok dan minuman keras dalam tin serta botol bernilai RM19 juta.

“Pecahan nilai rampasan ialah RM10 juta pada Januari, Februari (RM6 juta) dan sehingga 21 Mac (RM2.5 juta).

“Dalam tempoh sama, polis turut membuat 24 serbuan dengan nilai rampasan lebih RM18 juta melalui Op Tiris membabitkan minyak diesel, minyak petrol dan minyak masak serta menahan 76 individu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis komited dan fokus dalam usaha memerangi jenayah kontraban serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi, selain usaha sama dengan agensi lain akan diteruskan bagi mengekang jenayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.