Kerajaan mahu larang penstriman langsung aktiviti seksual kanak-kanak

Kerajaan mahu larang penstriman langsung aktiviti seksual kanak-kanak

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said berkata, pindaan undang-undang itu akan dibentang di Dewan Rakyat pada 27 Mac ini.

(Dari kiri) Farah Nini Dusuki, Azalina Othman Said, Saskia Blume dan S Selvi bergambar selepas sidang media di bangunan Parlimen berkaitan pembaharuan undang-undang jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
KUALA LUMPUR:
Pindaan kepada undang-undang berkaitan jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan merangkumi peruntukan mengharamkan penstriman langsung aktiviti seksual, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Katanya, kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang (RUU) di Dewan Rakyat untuk meminda Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 pada 27 Mac ini.

RUU itu antara lain bertujuan mengharamkan tindakan “terlibat secara langsung, menganjur, mempromosi, mengarah mangsa atau menerima wang” berhubung penstriman langsung aktiviti seksual membabitkan kanak-kanak.

“Cadangan hukuman untuk kesalahan itu adalah penjara 20 tahun atau denda RM50,000,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Azalina berkata, individu terlibat dalam peras ugut seksual kanak-kanak juga satu kesalahan di bawah undang-undang itu. Cadangan hukuman adalah 10 tahun penjara.

Katanya, istilah “pornografi kanak-kanak” dalam Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak akan dipinda kepada “bahan penganiayaan seksual kanak-kanak” untuk meluaskan definisinya.

Pindaan lain terhadap akta itu termasuk menggubal peruntukan yang membenarkan keterangan diambil daripada kanak-kanak daripada kontak kali pertama, seperti di balai polis dan hospital, bagi mengelakkan mereka memberi keterangan beberapa kali.

Pembaharuan undang-undang itu termasuk peruntukan mengenai prosiding khas mesra kanak-kanak, contohnya memberi kuasa kepada hakim untuk mengawal bentuk soalan daripada peguam dan pilihan pendengaran secara rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu hadir ke mahkamah.

Mahkamah juga akan diberi kuasa untuk mengarahkan penjenayah membayar pampasan kepada mangsa untuk kos berkaitan perkhidmatan kaunseling, rawatan dan pemulihan.

Fasa dua pembaharuan undang-undang berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan merangkumi libat urus dengan Majlis Peguam berkaitan pindaan Akta Keterangan 1950 membabitkan keperluan undang-undang untuk bukti menyokong.

Pindaan Akta Keterangan itu dijangka dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Mei atau Jun nanti.

Turut hadir dalam sidang media hari ini adalah Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam, Farah Nini Dusuki, Ketua Perlindungan Kanak-kanak Unicef Malaysia, Saskia Blume dan pakar perlindungan kanak-kanak Unicef, S Selvi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.